suria

Tiga Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan di Pahang

KUANTAN: Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia setahun, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing berdekatan Kampung Bukit Kuin, di sini malam Ahad.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, Wan Hassan Basri, 53, dan isteri Zainab Yatim, 57, maut di tempat kejadian manakala cucu mereka Nur Ameera Amran meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Wan Hassan cuba memotong sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.

"Mangsa yang dalam perjalanan dari Sungai Lembing ke Kuantan bagaimanapun gagal memotong lori itu dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Pemandu lori dan kereta Proton Waja itu hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya parah selepas mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan, dipercayai akibat menunggang dalam keadaan mabuk.

Kejadian berlaku pukul 4.50 petang di Jalan Ladang Dara Lam Soon di Pekan, dan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Izat a/l Rshid, 26, manakala rakannya yang berusia dalam lingkungan 20-an dirawat di Hospital pekan.

Dalam kemalangan di Km 68 Jalan Kuatan-Segamat, seorang lelaki terkorban dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan pada pukul 3.40 petang Ahad.

Mohd Zulkafli Musa, 46, maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kancil dan Proton Saga sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Zainalabidin, pemandu tiga kenderaan lagi hanya mengalami cedera ringan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain