suria

Pulau Pinang Beri Peruntukan Adun Umno

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP akan memberikan peruntukan sebanyak RM40,000 setahun kepada sepuluh wakil rakyat pembangkang negeri itu mulai 2014.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, peruntukan kepada sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno itu diberi bagi melaksanakan projek pembangunan kecil di kawasan masing-masing.

Menurut Lim, peruntukan terbabit diluluskan 'secara prinsip' dalam mesyuarat exco pada 18 September lalu.

"Selepas mekanisma peruntukan RM40,000 setahun ini ditetapkan, maka ia akan dibentangkan dalam Belanjawan 2014 kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada akhir tahun ini," katanya pada Ahad.

Tegas Lim, pemberian itu akan dibuat mengikut mekanisma yang ketat.

Menurut Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, kerajaan pimpinannya bersikap terbuka tanpa mengamalkan budaya diskriminasi antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

"Kami mengamalkan sikap terbuka yang menghormati prinsip dan semangat demokrasi yang bertindak adil kepada semua bangsa dan agama tanpa berdiskriminasi di antara penyokong BN dan PR.

"Bantuan kerajaan negeri PR diberikan kepada semua berdasarkan keperluan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain