suria

Pertandingan Jawatan Ketua Pemuda Umno Tidak Timbulkan Perpecahan - Khairy

MELAKA: Pertandingan bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti bulan depan tidak akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan anggota pergerakan itu hasil perpaduan kukuh yang terbina sejak dahulu lagi, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan itu juga percaya anggota pergerakan itu bijak memilih serta amat memahami prinsip demokrasi dalam Umno dan tidak sama sekali terpengaruh dengan anasir negatif yang dapat menjejaskan persaingan sihat bagi jawatan itu.

"Saya rasa tak kot (berpecah), pada penggal lepas saya tanding dan lawan bekas menteri besar dan exco Pemuda, masih kukuh (perpaduan Pemuda Umno), walaupun saya hormati sesiapa sahaja yang tampil ke depan untuk bertanding saya lihat dan rasa pertandingan jauh berbeza daripada 2008," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa 2013 Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-4 di Bandar hilir di sini, malam Jumaat.

Kejohanan lima hari yang berakhir pada Khamis disertai lebih 700 peserta dari dalam dan luar negara. Pasukan Malaysia A muncul juara kategori antarabangsa manakala Kolej Komuniti Pahang juara kategori institusi pengajian tinggi.

Pertandingan jawatan itu dijangka menyaksikan pertandingan antara Khairy; anak bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali.

Khairy mengalu-alukan sesiapa sahaja yang bertanding untuk jawatan itu atas dasar keterbukaan parti dan tidak khuatir tentang peluangnya kerana percaya perwakilan Pemuda Umno seluruh negara bijak memilih pemimpin terbaik menerajui sayap Umno itu.

Ditanya apakah visi dan misi beliau sekiranya dipilih semula memegang jawatan itu, beliau akan bekerja keras dalam usaha menarik sokongan lebih banyak generasi muda kepada parti keramat orang Melayu itu.

"Umno ini kekuatannya ada pada generasi muda Melayu, begitu juga pada pilihan raya akan datang kekuatannya datang daripada pengundi muda Melayu yang perlu kita tarik dan yakinkan bahawa hanya Umno yang dapat membela nasib orang Melayu," katanya - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain