suria

Penggabungan Gerakan, MCA & SUPP Belum Tentu Dapat Kembalikan Kegemilangan BN - Chang

KUALA LUMPUR: Cadangan menggabungkan parti Gerakan, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bukan jalan penyelesaian dalam mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN).

Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata cadangan seperti itu tidak perlu dilaksanakan kerana parti komponen BN sendiri yang perlu membantu kerajaan dalam menangani isu tersebut.

"Untuk apa (gabungan parti)? yang paling penting semua parti komponen B Nmemainkan peranan sama ada mengubah struktur BN dan menjadikan BN satu jentera yang kuat melalui perbincangan dan juga melakukan perubahan dalam menghadapi cabaran negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Perhubungan Negeri, Pemuda dan Wanita Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013, di menara PGRM di sini, malam Ahad.

Chang berkata perkara utama yang perlu diberi perhatian kini adalah bagaimana parti komponen BN menangani isu yang diutarakan rakyat ketika ini.

"Isu yang diutarakan rakyat contohnya, ketelusan, sistem penyampaian kerajaan, semua ini perlu diselesaikan, termasuk juga isu jenayah, kos sara hidup yang tinggi dan kualiti hidup di kawasan bandar," katanya.

Chang menambah, barisan kepimpinan Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terpilih nanti, perlu merangka strategi baharu dalam mengembalikan kekuatan parti tersebut.

Di persidangan itu, Lau Hoi Keong terpilih sebagai Pengerusi Perhubungan Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang baru dengan mendapat 78 undi mengalahkan Dr Wong Ruen Yuan yang mendapat 73 undi.

Dr Wong pernah memegang jawatan setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan.

Manakala jawatan Ketua Pemuda dimenangi oleh Calven Loke Wai Hoong yang meraih 25 undi mengalahkan pencabarnya Simon Sim yang mendapat 17 undi pada sesi pemilihan yang berakhir kira-kira 11.30 malam Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain