suria

Lokman Yakin Mampu Galas Tanggungjawab Naib Ketua Pemuda

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam yakin mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan menjadi calon paling layak memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno.

Lokman, 40, berkata, sudah tiba masanya tugas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin diambil alih oleh pembantu yang berpengalaman kerana Khairy kini turut menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Pemuda Umno hari ini adakalanya perlu membantu parti menjawab fitnah pembangkang dan berdepan isu-isu yang memerlukan bantahan, protes dan sebagainya.

"YB Khairy sudah jadi menteri penuh dan tidak sepenuhnya akan melakukan tugas-tugas itu lagi. Beliau perlukan seorang naib yang boleh membantu dan memberi kesinambungan kepada tugas-tugasnya dahulu dan saya yakin mempunyai kelebihan dan pengalaman," katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Menurut Lokman, beliau telah bersedia memberi komitmen dari segi masa terhadap sayap parti jika diberi peluang mengisi kekosongan jawatan tersebut yang dianggap mempunyai persamaan dengan tugasnya sekarang.

Lokman kini merupakan ketua Unit Pidato Pemuda Barisan Nasional (BN) dan menjadi panel Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Penyandang jawatan itu, Datuk Razali Ibrahim tidak akan mempertahankan kedudukannya atas faktor usia.

"Dari segi masa, saya bukan pengerusi mana-mana badan korporat atau bukan pegawai khas kepada mana-mana menteri.

"Tugas saya lebih kepada merancang strategi, menjawab fitnah dan tohmahan pembangkang yang mana ini sinonim dengan tugas dan peranan sayap. Tugas-tugas ini sudah menjadi 'makanan' saya," tegasnya.

Mengenai pesaing, Lokman berkata tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana yakin perwakilan bijak memilih dengan sistem baharu yang diperkenalkan.

Beliau juga tidak bimbang dengan dakwaan kononnya Khairy telah mempunyai calon kegemarannya untuk jawatan tersebut.

"Saya yakin dengan kemampuan saya dan yakin Khairy tidak menyokong calon tertentu," katanya.

Malah katanya, berbanding calon lain beliau mempunyai sedikit kelebihan kerana telah menceburi bidang politik secara rasmi selama 22 tahun dan dikenali ramai.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini akan menghadapi persaingan empat penjuru berdepan calon lain iaitu Ketua Pemuda Tenom, Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda Lenggong, Mohamad Iruan Zulkefli dan Ketua Pemuda Umno Perak, Khairol Azwan Haron.

"Mereka yang tawar diri bertanding tak ada yang senior. Semuanya, termasuk saya baharu jadi Exco selama satu penggal, jadi dari segi 'track record' saya ada kelebihan.

"Tempoh kempen pun sangat singkat dan kempen di media baharu memainkan peranan. Tapi melalui kempen cara tradisional saya ada kelebihan kerana sudah empat setengah tahun buat kempen cara bersemuka...saya berjumpa ahli jawatankuasa sehingga peringkat bahagian," katanya.

Lokman menjelaskan, melalui media baharu, sehingga minggu lepas carian di Google menunjukkan nama beliau berada di kedudukan paling atas berbanding calon lain dengan jumlah carian menghampiri 1.5 juta dan jumlah 'Like' di laman sosial juga menunjukkan beliau mendapat jumlah paling banyak iaitu 36,000.

Lokman berkata sehingga kini beliau telah terlibat dengan 800 program parti dalam bentuk ceramah, kursus kepimpinan, kursus motivasi, pidato dan juga debat dengan pembangkang.

Beliau menjadi Ketua Pemuda Cawangan Taman Kluang sejak tahun 1991.

Lokman juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali dan pernah dimasukkan ke dalam lokap sebanyak lapan kali kerana memimpin demonstrasi ketika era reformasi.

Jika diberi peluang menjadi naib ketua beliau akan memberi fokus menawan hati 3.4 juta pengundi baharu dan pelajar sekolah dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain