suria

Ketua Polis KL Antara 9,838 Terima Anugerah Cemerlang 2012

Mohmad Salleh
Mohmad Salleh
Mohmad Salleh

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh antara 9,838 pegawai, anggota dan pegawai awam di seluruh negara yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 dalam satu majlis, Isnin.

Anugerah disampaikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini kepada wakil jabatan masing-masing.

Mohd Bakri, dalam ucapannya berkata setiap penerima bukan sahaja menerima sijil APC, tetapi Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,000 serta berpeluang dicalonkan sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan atau Negeri.

"Kita sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di satu era yang serba mencabar, dengan ekspektasi masyarakat terhadap perkhidmatan kita semakin bertambah.

"Maka di dalam iklim dunia yang sentiasa berubah, para penjawat awam juga perlu bersedia mentransformasikan diri dengan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran berkaitan untuk menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.

Mohd Bakri berkata oleh itu, warga PDRM perlulah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat kerana hanya dengan berbuat demikian sahaja, PDRM akan lebih dipandang tinggi dan dipercayai oleh rakyat.

Katanya, sekiranya setiap warga PDRM dapat memainkan peranan masing-masing dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik, tidak mustahil organisasi itu akan terus mengungguli agenda penguatkuasaan negara.

"Kepada penerima APC pada hari ini, diharap tuan puan akan dapat menyambung dan meneruskan pencapaian cemerlang masing-masing. Saya yakin tugas cemerlang ini akan menjadi contoh serta dorongan kepada rakan-rakan lain, dalam mempertingkatkan prestasi diri sendiri khususnya dan pasukan amnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain