Keputusan Musa Tidak Bertanding Tidak Perlukan Analisis Mendalam - Semasa | mStar

Keputusan Musa Tidak Bertanding Tidak Perlukan Analisis Mendalam

KOTA KINABALU: Keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman untuk tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi pada pemilihan Umno akan datang dilihat sebagai satu keputusan luar biasa, yang mengejutkan banyak pihak, di samping mengundang pelbagai andaian.

Walaupun keputusan ketua Umno Sabah ini untuk tidak merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden pasti mengecewakan ramai penyokongnya, namun ramai lagi yang terkejut dengan pengumuman beliau untuk tidak mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi parti itu.

Seperti biasa, mereka yang kononnya peramal politik akan mengemukakan pelbagai analisis dan teori "hebat", kebanyakannya mungkin atas dorongan pengkritik politik Musa.

Para penganalisis ini mungkin hanya menjadi jurucakap mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah jika kebelakangan ini, pelbagai alasan dikemukakan berhubung keputusan Musa untuk tidak bertanding, daripada wujudnya perpecahan dalam Umno Sabah, ketiadaan sokongan, hinggalah kepada takut jumlah undi yang diterimanya berkurangan jika beliau bertanding.

Walaupun mungkin ada pihak yang cuba meremehkan pencapaian Musa, namun bukanlah suatu rahsia bahawa beliau mencatat prestasi hebat pada pemilihan Umno sebelum ini, selain kejayaan beliau menerajui parti itu pada tiga pilihan raya umum di negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dipetik sebagai berkata baru-baru ini bahawa walaupun Musa adalah pilihan tepat, tetapi jika beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding, Umno Sabah akan berdiri teguh di belakangnya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan itu juga berkata Musa, yang kini anggota Majlis Tertinggi Umno, adalah pemimpin berwawasan dan berpengalaman serta memiliki kepimpinan berkualiti tinggi.

"Pada pilihan raya umum lepas, Musa menerajui cabaran Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di negeri ini dengan memenangi 48 daripada 60 kerusi negeri dan 22 daripada 25 kerusi parlimen serta membantu BN membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan," katanya.

Ketika ada pihak menjadi gelisah dengan berita bahawa Musa mungkin bertanding jawatan naib presiden, Salleh secara tegas berkata: "Beliau (Musa) bukan jenis pemimpin yang 'tamakkan' kedudukan (dalam parti), beliau lebih merupakan seorang pemimpin yang suka bekerja sebagai satu pasukan."

Timbalan Ketua Menteri, yang juga setiausaha perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin pula baru-baru ini berkata Umno Sabah sudah bersiap sedia untuk menggerakkan jenteranya ke seluruh negara jika Musa membuat keputusan untuk bertanding.

Yahya juga dipetik sebagai berkata bahawa setakat ini, lebih 20 bahagian Umno secara terbuka menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap Musa dan Ketua Menteri itu adalah antara tiga calon teratas untuk mengisi kerusi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti untuk dua penggal berturut-tuurt.

"Siapa kata wujud perpecahan dan tiada sokongan? Lebih 20 ketua bahagian Umno menyokong Musa bertanding jawatan naib presiden. Kecuali dua atau tiga orang yang kononnya 'Orang Kuat', majoriti mahu Musa bertanding jawatan itu," katanya.

Antara yang dilaporkan menyokong Musa bertanding jawatan naib presiden ialah ketua Umno bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad, ketua Umno bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Ketua Wanita Umno Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, ketua Umno bahagian Kota Kinabalu Datuk Faisyal Diego dan ketua Umno bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris.

Yahya, yang juga ketua Umno bahagian Putatan, berkata orang ramai perlu melihat dengan perspektif betul, manakala tidak perlulah lagi Musa untuk membuktikan kebolehannya dalam arena politik.

Katanya Musa sudah membuktikan dengan jelas kemampuannya menerajui setiap pertarungan politik hingga mencapai kemenangan besar ketika menerajui Umno dan sebagai pemimpin Umno dan BN di Sabah," katanya.

"Dari pilihan raya kecil hinggalah kepada pemilihan umno, dan dalam 'ibu segala pilihan raya', Pilihan Raya Umum ke-13, pencapaian Musa melebihi semua yang dijangka," Yahya dipetik sebagai berkata.

Malah, ketua Umno bahagian Papar yang tidak gemar menonjolkan diri dan Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail pun dilaporkan menyuarakan sokongannya agar Musa bertanding jawatan naib presiden.

"Kami memerlukan lebih ramai orang (Sabah) yang berkaliber sepertinya (Musa) di peringkat atas kerana banyak lagi yang boleh kami beri dan kami sudah membuktikannya (merujuk kepada kemenangan besar BN pada PRU-13)," katanya.

Ketika ramai berlumba-lumba menonjolkan diri sebelum hari penamaan calon, Musa terus berdiam diri dan bersikap tenang tentang pertandingan sengit yang kini kita semua tahu akan berlaku hampir bagi setiap peringkat, kecuali bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

"Jangan salah anggap. Musa adalah seorang manusia yang tidak pernah mengaku kalah dalam sebarang pertarungan. Oleh itu, tidak usahlah buat spekulasi tentang sebab sebenar beliau tidak bertanding. Musa seorang pemimpin bertanggungjawab dan komited," kata Bendahari Umno Sabah Datuk Hajiji Noor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain