suria

Hishammuddin Dijangka Terima Sokongan Padu Umno Bahagian Di Johor

JOHOR BAHARU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menerima sokongan padu daripada bahagian Umno di Johor bagi merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Beberapa Ketua Umno Bahagian secara terbuka berkata mereka akan mengikuti langkah Badan Perhubungan Umno Johor yang menyatakan sokongan terhadap pencalonan Hishammuddin pada mesyuaratnya baru-baru ini.

"Sebagai anak Johor, kita akan memberi sokongan padu kepada Hishammuddin sebagai calon Naib Presiden dan memastikan Johor terus kekal sebagai kubu kuat dan tunjang kepada Umno," kata Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang kepada Bernama, Isnin.

Beliau berkata bahagian itu ingin melihat Hishammuddin, yang merupakan anak Johor dan Ketua Umno Bahagian Semberong, mengekalkan jawatannya sebagai Naib Presiden parti berkenaan.

Mengulas dua calon Naib Presiden lain, Maulizan berkata mereka akan memilih pemimpin yang memiliki latar belakang perkhidmatan serta perjuangan cemerlang.

Calon Naib Presiden lain ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohamad Isa Samad serta bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Umno Bahagian Gelang Patah Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata kemenangan Hishammuddin akan memantapkan lagi Umno Johor.

Bagi Ketua Wanita Umno Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pergerakan itu akan menyokong calon yang cemerlang dalam melaksanakan tugas mereka.

"Saya tidak nampak mengapa Wanita Umno Johor perlu menolak Datuk Hishammuddin, beliau telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan harus disokong," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata keputusan menyokong Hishammuddin dan calon anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dari Johor adalah sesuatu yang biasa.

Beliau berkata bagaimanapun, Hishammuddin dan calon MT berkenaan perlu memperoleh sokongan negeri lain jika ingin menang dalam persaingan merebut jawatan terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain