suria

Dr Wong Ruen Yuan Keluar Dari Parti Gerakan

KUALA LUMPUR: Hanya selepas 24 jam kekalahan dalam persaingan merebut jawatan pengerusi negeri, bekas Setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan Dr Wong Ruen Yuan, bertindak keluar daripada parti.

Pemangku Setiausaha Agung Gerakan Datuk Mah Siew Keong, ketika mengesahkan perkara itu berkata pengerusi Gerakan Bahagian Segambut itu mengemukakan surat peletakan jawatannya, Isnin.

Mah berkata, menurut surat berkenaan, Dr Wong berkata beliau meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dalam parti dan juga sebagai anggota Gerakan.

Dr Wong dikalahkan oleh bekas Ketua Pemuda Gerakan Kuala Lumpur Lau Hoi Keong dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di sini, malam tadi.

"Saya berharap beliau akan menimbang semula. Saya tidak pasti sama ada ia berkaitan dengan keputusan semalam. Pengerusi negeri yang baharu dipilih juga cuba memujuk beliau untuk menimbang semula," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Mah juga berharap Dr Wong akan menerima hakikat bahawa dalam mana-mana pemilihan parti, ada yang menang dan kalah.

Selain itu, katanya, hampir semua negeri, kecuali Terengganu, Kelantan dan Kedah berlaku pertandingan untuk merebut jawatan pengerusi negeri masing-masing.

"Ini (pertandingan) adalah satu proses yang sihat. Apa yang penting ialah kita berharap sesiapa yang menang, mereka cukup murah hati untuk menjemput pihak yang kalah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain