suria

Bukan Proksi, Saya Mampu Buat Keputusan Sendiri - Maznah

Maznah Mazlan
Maznah Mazlan
Maznah Mazlan

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan menolak dakwaan yang mengatakan keputusannya menentang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam saingan merebut jawatan Ketua Wanita Umno sebagai mewakili kumpulan tertentu dalam pergerakan itu.

Tegas Maznah, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kemampuannya memimpin dan menyatupadukan Wanita Umno tanpa bersandarkan kepada bayangan mana-mana pihak atau pemimpin terdahulu.

"Saya harap supaya diberi sedikit penghormatan bahawa saya mampu berfikir sendiri dan membuat keputusan sendiri.

"Saya bertanding atas tanggungjawab dan keputusan saya sendiri," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai dakwaan kononnya tindakan mengejutnya menyerahkan borang pencalonan bagi menentang Shahrizat yang kini merupakan penyandang bagi jawatan itu adalah sebagai 'calon proksi' kepada bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang kalah pada pemilihan lalu.

Maznah dikaitkan sebagai orang kanan kepada Rafidah ketika era pentadbirannya dalam Wanita Umno.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MUadzam Shah, Pahang menjelaskan bahawa beliau sememangnya tidak memaklumkan mengenai hasratnya bertanding bagi jawatan itu kepada sesiapa termasuk Rafidah.

"Saya minta maaf kerana tidak memaklumkan lebih awal kepada semua pihak termasuk Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob) dan kepimpinan semua peringkat.

"Malah sehingga ke hari ini pun saya tidak memaklumkan kepada Tan Sri Rafidah mengenai keputusan ini, saya jangkakan beliau juga mengetahui mengenai perkara ini melalui media," katanya.

Ditanya mengenai kejutan terhadap keputusannya menawarkan diri sebagai Ketua Wanita Umno, Maznah berkata beliau mahu memberikan kepelbagaian kepada ahli Umno untuk membuat keputusan.

"Saya terpanggil (untuk bertanding) pada saat akhir kerana merasakan ada tanggungjawab untuk menawarkan diri sebagai calon alternatif atau mempelbagaikan pilihan kepada wanita umno.

"Saya merasai mempunyai kelayakan dan pengalaman yang cukup untuk menawarkan diri sebagai Ketua Wanita. Saya berharap dapat menyatukan wanita kerana wanita adalah tulang belakang kepada Umno dan BN," katanya.

Maznah adalah Exco Wanita Umno sejak 2000 dan Naib Ketua Umno Bahagian Rompin.

Beliau kini juga merupakan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia dan pernah menjadi Ketua Wanita Umno Pahang dan Exco Kerajaan Pahang sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 2008.

Selain Maznah dan Shahrizat, turut akan merebut jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan Oktober ini ialah Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Kulim Bandar Bahru, Raihan Suliman Palestin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain