suria

Presiden, Timbalan Presiden Menang Tanpa Bertanding Tanda Amalan Demokrasi Subur Dalam Umno

KUALA LUMPUR: Pengekalan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno setelah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menang tanpa bertanding menunjukkan amalan demokrasi terus subur dalam parti itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika berlaku pertandingan, ia akan menimbulkan pembahagian pengaruh yang pasti akan menyukarkan Umno untuk mencapai agenda parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Katanya tanpa ada pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu, ia menterjemahkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap gandingan kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

"Saya bersyukur kerana anggota Umno di peringkat akar umbi percaya kepada presiden dan timbalan presiden.

"Kemenangan ini juga adalah manifestasi kepada kepedulian yang mereka berdua lakukan untuk mengukuhkan Umno," katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Putrade Property Management Sdn. Bhd (Putrade) Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad.

Ketika ditanya mengenai pertandingan di peringkat bahagian, Ahmad Zahid berkata walaupun ada persaingan tetapi setiap anggota dan pemimpin tidak harus mengabaikan semangat kesatuan dalam kalangan mereka.

"Saya harap penyuburan demokrasi tidak akan menimbulkan petak pembahagian yang tidak dapat disatukan terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata persaingan di beberapa bahagian yang sudah lama tidak ditandingi menunjukkan keinginan peringkat akar umbi untuk melakukan transformasi di dalam parti.

Beliau berkata bila ada pertandingan, ini memberi peluang kepada akar umbi untuk membuat pilihan yang calon-calonnya bukan calang-calang orang.

Mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden yang menang tanpa bertanding semalam, beliau berkata: "Itu satu amalan demokrasi yang sihat, jadi tidak boleh tuduh seperti pemilihan jawatankuasa pusat DAP (CEC) yang kononnya Umno kurang demokrasi."

Ahmad Zahid yang juga anggota parlimen Bagan Datoh dan Mukhriz masing-masing menyerahkan borang pencalonan merebut jawatan naib presiden pada pemilihan Umno 2013 pada 19 Oktober depan.

Di RANAU, Sabah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kemenangan dua pemimpin tertinggi parti tanpa dicabar menunjukkan kestabilan politik di negara ini.

Katanya keadaan itu akan membolehkan Najib sebagai perdana menteri dan Muhyiddin selaku timbalan perdana menteri menumpukan masa mengurus tadbir agenda transformasi dan pembaharuan negara.

"Ini kematangan ahli Umno sebagai tulang belakang parti pemerintahan yang menginginkan kestabilan parti (pemimpin) dapat kekal, jadi kematangan ini diterjemahkan untuk mengekalkan presiden dan timbalan presiden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Jalan Luar Bandar Kibbas-Mohimboyon sepanjang 15km yang siap Mei lepas.

Berhubung pertandingan di peringkat ketua bahagian, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Ketua Umno Bahagian Semprona menyifatkan perkara itu lumrah dalam politik.

"Pertandingan ini biasa dalam keadaan politik, menampakkan demokrasi Umno subur tiada halangan dan sekatan...tetapi jangan guna ruang ini untuk melemahkan parti," katanya.

Di KOTA KINABALU, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kemenangan Najib dan Muhyiddin menunjukkan keyakinan anggota parti terhadap kewibawaan kedua-dua pemimpin untuk terus menerajui Umno yang merupakan tunjang Barisan Nasional (BN).

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata ia juga menunjukkan sokongan padu anggota akar umbi parti terhadap mereka.

"Bagi pihak Umno Sabah, saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin yang sekali lagi diberikan mandat untuk menerajui parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa berkata keputusan kolektif untuk mengekalkan presiden dan timbalan presiden tanpa bertanding menunjukkan perpaduan dan kematangan anggota parti yang akan mengukuhkan lagi Umno.

Sementara itu, Umno Pulau Pinang percaya kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti membuktikan kepimpinan dua pemimpin berkenaan masih diperlukan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata gandingan mantap Najib dan Muhyiddin Yassin akan mampu membawa Umno ke era lebih cemerlang.

"Jadi, Umno Pulau Pinang mengucapkan tahniah di atas kemenangan presiden dan timbalan presiden Umno itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir di Butterworth.

Di KUALA NERANG, Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut mengucapkan tahniah kepada Najib dan Muhyiddin dan menurutnya keputusan itu melambangkan kepercayaan anggota Umno terhadap kemampuan kedua-dua tokoh itu untuk memimpin Umno menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Saya juga berterima kasih kepada ahli-ahli Umno Padang Terap kerana memberi laluan saya mempertahankan jawatan tanpa bertanding. Keputusan ini memudahkan kita memperkemaskan jentera parti menjelang PRU-14 diadakan," kata Mahdzir yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air.

Beliau ditemui selepas merasmikan penyerahan rumah projek 'Baiti Jannati' (Rumahku Syurgaku) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Kubang Palas. - BERNAMA

Artikel Lain