suria

Polis Bongkar Makmal Proses Dadah Dalam Kedai Lebur Emas

GEORGE TOWN: Polis membongkar makmal dadah yang berselindung di sebalik perniagaan melebur emas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Farlim, Ayer Itam di sini awal hari Ahad.

Dalam serbuan pukul 2 pagi itu, polis turut menahan tiga lelaki dipercayai menjadi suspek utama kegiatan itu.

Difahamkan polis terpaksa memecah pintu besi premis berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui 12 butir peluru dan pelbagai bahan kimia serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Keadaan bertukar kecoh seketika apabila salah seorang suspek cuba membunuh diri dengan meminum cecair kimia yang terdapat di tempat kejadian dan lelaki itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Kemudian pada 1.30 petang, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dikerah ke tempat kejadian untuk membantu polis memecah peti besi setinggi hampir dua meter yang menjadi tempat simpanan dadah yang telah siap diproses.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan operasi itu dan berkata satu sidang media mengenainya akan diadakan esok. - BERNAMA

Artikel Lain