suria

Lelaki Ditembak Selepas Serang Polis Dengan Parang

PEKAN: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam satu kes curi cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang di Jalan Dara dekat kawasan ladang Felda Chini di sini 5.45 petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, terdahulu polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan suspek, 45, dipercayai sedang mencuri buah kelapa sawit di ladang berkenaan sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Semasa tiba di kawasan ladang berkenaan, polis mengepung untuk memberkas suspek namun dia bertindak agresif sebelum menyerang anggota polis terbabit dengan parang.

"Suspek yang tidak mahu menyerah diri itu bertindak melibas parang berkenaan ke arah anggota polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata, tembakan itu mengenai bahagian perut dan dada suspek.

"Berdasarkan siasatan awal suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, suspek kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 307 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain