suria

Laporan Negatif Media Asing Tidak Halang Pelaksanaan Projek Hidroelektrik Di Sarawak - Taib

KUCHING: Usaha kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek empangan tenaga hidroelektrik (HEP) di Murum, Baram and Baleh sebagai sebahagian daripada program pengindustrian negeri ini akan terus diberi publisiti buruk oleh media asing, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata pelaksanaan projek ini bagaimanapun mengubah pandangan rakyat kerana mereka tahu pengindustrian merupakan suatu langkah penting dan ini mencerminkan pengiktirafan mereka terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.

"Tetapi, ia tidak membantu melepaskan diri saya daripada terus menjadi sasaran tuduhan buruk. Projek petempatan semula Murum akan mendorong golongan yang kononnya baik hati untuk mengatakan bahawa masyarakat Penan menjadi mangsa daripada sikap kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh membela nasib mereka.

"Dan orang akan terdorong untuk mempercayainya berikutan kemiskinan yang wujud di negara membangun," katanya pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-30 Zaman Angkatan Mansang (Azam) bertemakan "Menghubungkan Masyarakat, Membentuk Masa Depan Sarawak" di sini malam Sabtu.

Abdul Taib berkata ramai tidak tahu bahawa kerajaan membelanjakan RM2 juta bagi setiap keluarga dalam projek penempatan semula kaum Penan yang terjejas oleh projek HEP, termasuk pembinaan jalan raya, rumah, sekolah, gereja dan pembukaan tanah pertanian.

Katanya Sarawak juga dituduh memusnahkan alam sekitar walaupun misi mencari fakta antarabangsa membuktikan sebaliknya - dasar memelihara kelestariannya mengandungi pelan jangka panjang dalam melindungi alam sekitar dan memenuhi permintaan balak dunia.

"Namun, kita terus diserang walau apa pun yang telah kita lakukan atau terus laksanakan...Kini, kita menjadi agak terkenal walaupun sebelum ini langsung tidak dikenali, hasil daripada usaha gigih pengkritik kita," katanya.

Abdul Taib memuji Azam kerana menjalankan tugasnya dengan berkesan dalam menangkis propaganda asing melalui hubungan yang dijalinnya dengan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan melalui perkongsian pintar dan forum awam. - BERNAMA

Artikel Lain