suria

Tiada Pakatan Antara Tiga Penyandang Naib Presiden Umno - Hishammuddin

JOHOR BAHRU: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan tiada pakatan antara beliau dengan dua lagi penyandang jawatan itu untuk menentang calon yang mencabar mereka pada pemilihan parti bulan depan.

Hishammuddin berkata, hanya keselesaan bekerjasama dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi pengikat kepada gandingan mereka sehingga berjaya membawa wadah perjuangan parti selama ini.

"Keselesaan bekerja memang telah wujud, bukan semalam dan bukan hari ini. Memang telah dipersetujui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Seri Shafie, gandingan kerjasama selama ini yang mengikat kita.

"Keserasian ini memang telah terbukti dalam banyak pilihan raya kecil dan pilihan raya umum baru-baru ini. Saya percaya perwakilan cukup matang untuk menilai perkara itu," katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas pertandingan enam penjuru untuk jawatan naib presiden, selepas mengadakan perjumpaan dengan Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno Johor di sini, Sabtu.

Selain tiga penyandang, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyerahkan borang pencalonan pada Sabtu untuk persaingan jawatan naib presiden.

Namun, dalam masa sama, Hishammuddin berkata jika terus kekal memegang jawatan itu, beliau tidak mempunyai masalah untuk berkerjasama dengan siapa juga yang terpilih asalkan wujud persefahaman. - BERNAMA

Artikel Lain