suria

Separuh Daripada Jemaah Haji Malaysia Berada Di Tanah Suci

MAKKAH: Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia musim ini kini telah berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pengurus Media Tabung Haji (TH) Mohamad Naser Jaafar berkata, setakat ini kira-kira 11,000 daripada 22,320 jemaah Malaysia telah berada di kedua-dua tanah suci itu bagi menunaikan ibadah haji bulan depan.

"Kira-kira 5,000 jemaah haji Malaysia yang sebelum ini berada di Madinah telah memasuki Makkah dan bakinya sedang memasuki Makkah secara berperingkat manakala dua buah pesawat terakhir membawa sebanyak 730 jemaah haji memasuki Madinah telah mendarat di Lapangan Terbang Madinah pagi semalam dan malam tadi", katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya, penerbangan pertama membawa 450 jemaah haji terus memasuki Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dijadual tiba awal pagi Ahad.

Beliau berkata, TH juga telah mengatur pelbagai aktiviti jemaah haji Malaysia di Makkah termasuk membawa jemaah yang baru tiba menunaikan umrah wajib serta kuliah-kuliah ulang kaji tatacara mengerjakan ibadah haji.

Penerbangan akhir membawa jemaah haji Malaysia musim haji tahun ini ialah pada 9 Oktober dan hari wukuf di Arafah iaitu hari bermulanya rukun haji ialah pada 14 Oktober. - BERNAMA

Artikel Lain