suria

Presiden, Timbalan Presiden Umno Menang Tanpa Bertanding Jika Tiada Pencabar

KUALA LUMPUR: Presiden dan timbalan presiden Umno akan dikira menang tanpa bertanding sekiranya tiada pencabar yang menyerahkan borang pencalonan di akhir tempoh berbuat demikian pada 5 petang ini.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata pengumuman keputusan untuk jawatan berkenaan akan dibuat selepas proses penyerahan itu tamat hari ini.

"Tetapi pengumuman rasmi tetap akan dibuat pada Selasa iaitu hari pengumuman calon yang layak bertanding (pada pemilihan Umno bulan depan)," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang pencalonan masing-masing untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno melalui wakil masing-masing, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.

Setakat ini, tiada pihak lain menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding kedua-dua jawatan itu.

Dalam pada itu, Abdul Rauf turut mengingatkan individu atau wakil mereka yang hadir untuk menghantar borang pencalonan supaya tidak berkempen di sekitar kawasan penyerahan borang berkenaan.

Beliau menegaskan tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap sesiapa yang berbuat demikian.

"Proses penyerahan borang setakat ini berjalan lancar dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain