suria

Pemilihan Umno: Abdul Wahid Tidak Lihat Kemungkinan Aktif Politik

KUALA LUMPUR: Ketika bahang pemilihan Umno semakin memuncak dengan pendaftaran calon akan dilakukan pada Sabtu, tokoh korporat yang dilantik sebagai menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata beliau tidak melihat kebarangkalian menyertai pertandingan seumpama itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak berhasrat untuk menyertai arena politik meskipun mempunyai kedudukan penting dalam pentadbiran negara.

Abdul Wahid yang diberi tanggungjawab mengendalikan Unit Perancang Ekonomi (UPE) berkata beliau menyertai kerajaan atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana menteri mengajak saya untuk berkhidmat dalam kerajaan supaya saya dapat memberi perspektif dalam pengurusan ekonomi negara.

"Saya berasal dari sektor perniagaan dan korporat. Saya tidak ada niat untuk menjadi ahli politik dan tidak melihat kebarangkalian untuk menyertai politik pada masa akan datang," katanya.

Abdul Wahid yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd sejak 1 Mei 2008 hingga 4 Jun 2013, mengangkat sumpah sebagai Senator pada 5 Jun 2013.

Beliau turut menjadi antara penerima anugerah "Value Creators: Malaysia's Outstanding Chief Executive Officer" (CEOs) awal bulan ini sebagai, pengiktirafan kepadanya ketika menerajui Malayan Banking Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Renong Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain