suria

MB, Ketua Menteri Sabah Serah Borang Pencalonan Bagi Pemilihan Umno Bahagian

KUALA LUMPUR: Setakat pukul 1.30 tengah hari Sabtu, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri Sabah telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi pemilihan Umno 2013 yang akan berlangsung bulan depan.

Antara yang menarik perhatian ialah Menteri Besar Perlis Azlan Man, yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun.

Mereka yang mempertahan jawatan ketua bahagian ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (Libaran), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said (Kemaman), Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Lumut.

Di PERLIS, Azlan akan berhadapan dengan Anggota Parlimen Kangar Ir Shaharuddin Ismail dan bekas timbalan ketua Umno bahagian itu Datuk Hashim Suboh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Arau.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata 453 borang telah diserahkan di Dewan Residensi setakat ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang manakala Khairy Jamaluddin pula bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau.

Selain itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal iaitu Datuk Abdul Karim Mustafa menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Rasah.

Di SABAH, Mohd Shafie menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Semporna yang disandangnya sejak 1996, menerusi wakilnya, Hisham Abd Fattah.

Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Keruak pula diwakili Bendahari Umno Bahagian Kota Belud Zainal Abidin Soud bagi mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Belud.

Lebih 500 borang pencalonan diterima sehingga 11.30 pagi ini, kata jurucakap urusetia Umno Sabah.

Di MELAKA, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh akan bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah.

Borang pencalonan diserahkan wakilnya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Beliau akan berhadapan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Rahim Thamby Chik dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Ismail Othman.

Penyandangnya Datuk Abu Seman Yusop tidak mempertahankan jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Melaka Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin berkata 703 pencalonan diterima setakat 12 tengah hari termasuk 460 borang pencalonan dari peringkat Bahagian.

Di KEDAH, pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Peringkat Negeri, Tan Sri Osman Aroff berkata tiada masalah dihadapi dan anggota Umno dapat mematuhi peraturan walaupun sistem itu pertama kali dilaksanakan.

Mengenai Langkawi, beliau berkata bahagian itu diberi pelepasan oleh ibu pejabat parti untuk menjalankan proses penyerahan borang di pulau peranginan itu atas sebab logistik dan untuk memudahkan anggota parti hadir.

Di PULAU PINANG, bekas calon Barisan Nasional Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Mazlan Ismail menyerahkan sendiri borang pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh.

Penyandangnya Datuk Mohd Nasir Abdullah akan mempertahan jawatan itu.

Suami kepada pelakon Datin Paduka Umi Aida, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pula akan bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Batu Kawan.

Di KELANTAN, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed melalui setiausaha politiknya Mohd Nasir Mohd Nor, menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Jeli yang disandang sejak 1994.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Setiausaha badan perhubungan itu Datuk Noor Zahidi Omar, masing-masing akan mempertahan jawatan ketua bahagian Bachok dan Tumpat.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah melalui wakilnya Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahan jawatan Ketua Umno bahagian itu.

Di SELANGOR, penyandang jawatan Ketua Umno bahagian Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berhadapan muka baharu Datuk Marsum Paing.

Bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Shah Alam, selain penyandang Datuk Ahmad Nawawi M. Zin, Ketua Pemuda Shah Alam Azahari Saari dan Ketua Cawangan Umno Taman Bukit Saga Basharuddin Nordin turut bertanding jawatan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar berkata sehingga kini, 2,500 borang pencalonan diterima dengan 40 daripadanya adalah bagi jawatan Ketua Bahagian.

Di JOHOR, mereka yang telah menghantar borang pencalonan masing-masing ialah Dr Mohd Puad Zarkashi bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat; Datuk Seri Azalina Othman Said (ketua bahagian Pengerang); Tan Sri Shahrir Abdul Samad (ketua bahagian Johor Baharu); dan Datuk Noraini Ahmad (ketua wanita Parit Sulong) serta Datuk Ahmad Maslan bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Pontian.

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsol Bari Jamali berkata sehingga 12 tengah hari ini 7,800 daripada 13,000 borang telah diterima.

Di KUALA LUMPUR, Umno Bahagian Putrajaya menyaksikan Setiausaha Agung parti Tengku Adnan Tengku Mansor bertanding jawatan ketua bahagian.

Sehingga pukul 1 tengah hari, bahagian itu hanya menerima satu pencalonan masing-masing bagi jawatan pengerusi tetap dan timbalannya, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

Sementara itu di TERENGGANU, Ahmad akan berhadapan Mat Dalam Awang bagi jawatan ketua bahagian Kemaman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula diwakili Tun Mohd Firdaus Tun Mohamad untuk menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan timbalan ketua bahagian itu.

Borang pencalonan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bagi mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Besut diserahkan wakilnya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari akan mencabar penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Berang. - BERNAMA

Artikel Lain