suria

SPAD Kesan Lebih 10,000 Kes Kesalahan Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan 10,027 kes melibatkan pelbagai kesalahan dalam pengangkutan awam sejak Januari 2011 hingga Ogos 2013.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kesalahan itu dikenal pasti melalui pemeriksaan ke atas 311,169 kenderaan perdagangan, kenderaan pengangkutan awam dan pelancongan dalam tempoh yang sama.

Kesalahan itu antaranya melibatkan kegiatan kereta sapu, teksi yang tidak menggunakan meter, bas sekolah tidak berlesen serta lori lebih muatan, katanya.

"Tindakan perundangan telah diambil ke atas pengendali dan pemandu pengangkutan awam itu," katanya ketika berucap merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi SPAD siri 1/2013 di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja di Kem Genting Klang di sini, Jumaat.

Beliau juga berkata, SPAD menjalankan 4,536 operasi khas sejak Januari tahun ini hingga sekarang yang turut melibatkan agensi penguatkuasaan yang lain, seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen bagi mengesan kesalahan pengangkutan awam.

Menyentuh mengenai majlis tamat latihan itu, Syed Hamid berkata 94 pegawai penguatkuasa menamatkan kursus hampir dua bulan yang bermula Ogos lepas.

Menurutnya, pegawai berkenaan dipilih daripada 15,000 pemohon yang berminat dalam profesion itu.

SPAD yang secara rasminya ditubuhkan pada 3 Jun 2010, pada mulanya hanya mempunyai 21 anggota penguatkuasa di Semenanjung, dan kini kekuatan keseluruhan anggota penguatkuasa ialah 402 anggota. - BERNAMA

Artikel Lain