suria

DAP Lantik Auditor Dalaman Pantau Pemilihan Semula CEC

KUALA LUMPUR: DAP melantik auditor Penasihat Perniagaan dan Akauntan PKF untuk bertindak sebagai pemantau bagi pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadual dijalankan semasa kongres khas parti itu 29 September ini.

Pegawai pengurus bagi kongres khas DAP Dr Ong Kian Ming berkata, PKF telahpun mengkaji dan memantau penghantaran notis yang dihantar kepada perwakilan yang layak untuk menghadiri pemilihan semula CEC itu.

Bagi memastikan ketepatan keputusan akhir yang akan dihadiri 2,576 perwakilan yang layak, dua prosedur baru diperkenalkan termasuk proses penjadualan berkomputer untuk semakan silang keputusan itu.

"Dakwat kekal juga akan digunakan selepas perwakilan mengundi yang akan bertahan selama beberapa jam kerana proses pengundian mengambil masa dua jam," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Senarai calon bagi pemilihan semula CEC itu mempunyai 68 nama, senarai yang sama yang digunakan semasa pemilihan CEC pada 2012 di Pulau Pinang.

Sementara itu, DAP telah memfailkan permohonan bagi menolak saman dan injunksi yang difailkan naib pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi David Dass Aessrpatham bagi menghalang kongres khas yang dicadangkan daripada dijalankan.

Pada 30 Julai lepas, Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi melibatkan 547 perwakilan.

Pada awalnya DAP membantah arahan ROS tetapi kemudiannya memutuskan akan berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Lain