suria

Azalina Sah Tanding MT

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Pengesahan itu sekaligus menamatkan kebimbangan banyak pihak berhubung hasratnya sebelum ini untuk mencabar Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil bagi kedudukan Ketua Pergerakan Wanita Umno.

"Setelah mengambil kira nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak, saya dengan penuh takzim mengesahkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia dalam pemilihan parti kali ini.

"Saya yakin keputusan ini akan diterima baik oleh semua pihak demi perpaduan dan keutuhan Umno. Sebagai seorang yang setia kepada kepimpinan parti dan sayang serta cintakan Umno, apa yang penting bagi saya ialah melihat parti ini terus padu, utuh dan unggul bagi kita bersedia dari sekarang untuk menghadapi Pilihanraya UMUM ke-14 nanti," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Selain itu Azalina turut mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Pengerang.

Sebelum ini banyak pihak menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan bekas Ketua Puteri Umno itu untuk menentang Shahrizat yang dilihat akan membawa ke arah perpecahan dalam sayap itu.

Bagaimanapun beberapa hari lalu Azalina yang juga bekas Menteri Pelancongan menyatakan kesediaannya menarik diri daripada meneruskan hasratnya selepas menerima nasihat daripada pelbagai pihak demi kepentingan Umno.

Artikel Lain