suria

Pelajar Universiti Mesir Dibenar Sambung Pengajian Di IPT Tempatan

PUTRAJAYA: Kabinet pada Rabu bersetuju membenarkan pelajar Malaysia dari universiti Mesir menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia akan dilaksanakan secara "one-off", ekoran pergolakan di Mesir yang dijangka berlarutan dan tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

"Langkah itu sebagai alternatif kepada pelajar tetapi kerajaan tidak menghalang jika ada pelajar yang memilih kembali semula ke Mesir," katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi di sini Rabu.

Idris berkata bagi pelajar yang mengambil bidang perubatan, pergigian dan farmasi boleh melaksanakan pemindahan kredit berdasarkan prinsip "parallel" manakala pelajar dalam bidang pengajian Islam pula adalah mengikut syarat ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bagaimanapun katanya, penempatan tersebut tidak melibatkan pelajar yang sedang mengikuti program klinikal dalam bidang perubatan dan pergigian.

Idris berkata, sebuah jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir telah ditubuhkan bagi melicinkan pengurusan pengajian pelajar yang akan meneruskan pengajian di negara ini.

"Pelajar boleh memilih IPT yang menjadi pilihan tetapi tumpuan pemilihan adalah kepada IPT swasta memandangkan IPT awam mempunyai ruang yang terhad.

"Senarai 29 buah IPT yang mengambil bahagian boleh didapati menerusi laman web kementerian.

"Sekiranya IPT yang dipilih pelajar sudah penuh maka pelajar akan ditempatkan ke IPT lain yang ditetapkan oleh pihak kementerian," katanya.

Pelajar yang berminat boleh memohon menerusi laman web http://www.moe.gov.my mulai 24 September sehingga 8 Oktober depan.

Beliau berkata kementerian juga telah berbincang dengan badan-badan profesional, Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, Lembaga Farmasi Malaysia supaya menambah kuota iaitu dengan menaikkan nisbah pelajar iaitu satu pensyarah untuk lapan pelajar berbanding sebelum ini satu pensyarah bagi empat pelajar.

"Kementerian juga berharap pihak penaja membenarkan pelajar tajaan mereka untuk menyambung pengajian di negara ini.

"Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga dibenarkan untuk memberi pinjaman tidak melebihi RM150,000," katanya.

Di bawah program bantuan pelajar ini dikenali sebagai Ops Piramid 2, seramai 2,791 pelajar telah dibawa pulang manakala 583 lagi tidak pulang atas pilihan sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain