suria

Palsukan Tuntutan: Bekas Pengurus PPK Sg Tinggi Dipenjara Sehari

IPOH: Bekas Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Tinggi, Trong dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membuat tuntutan palsu RM1,360 berhubung tempahan baju korporat pada tiga tahun lepas.

Mohamed Ismail Habib Mohamed, 50, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Madihah Harullah pada Khamis.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 27 Julai 2010 di Pejabat PPK Sungai Tinggi, Trong dengan mengesahkan baucar bayaran pembekalan baju korporat PPK bernilai RM1,360 sedangkan tiada perkhidmatan sedemikian dibuat.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum menurut Seksyen 24 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM A. Hafiizh Abu Bakar dan Pegawai SPRM Yang Ah Lay manakala tertuduh diwakili dua peguam iaitu M. Kathan dan Arjan Singh.

Terdahulu, Kathan memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya mempunyai seorang anak perempuan kurang upaya berumur 26 tahun dan seorang anak lelaki yang masih menuntut di Politeknik Seberang Jaya, Pulau Pinang.

"Tertuduh juga mengalami sakit mental sejak dia ditangkap dan kini masih menerima rawatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain