suria

Mukhriz Tanding Jawatan Naib Presiden Umno

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada Khamis mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.

Keputusan yang amat ditunggu-tunggu itu dibuat dalam ucapannya ketika memperkenalkan calon Umno Kedah yang akan bertanding diperingkat nasional pada pemilihan parti.

Mukhriz berkata keputusan tersebut dibuat selepas membuat pertimbangan serta mendapatkan nasihat daripada pemimpin Umno di peringkat negeri.

"Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan. Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari dari perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab," katanya.

Dalam ucapannya, Mukhriz turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno.

Jawatan naib presiden Umno kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).

Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahan jawatan itu.

Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin telah mengumumkan akan bertanding jawatan itu iaitu Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pada sidang media selepas itu, Mukhriz berkata hasrat beliau bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti semata-mata untuk menterjemahkan transformasi yang hendak dilakukan dalam parti menerusi slogan 'Berani Berubah' yang beliau gunakan ketika bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada 2009.

Katanya parti pembangkang dilihat telah memulakan persiapan ke arah pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan terbuka kepada orang muda sehingga mereka turut terbabit secara aktif dalam melakar hala tuju parti. "Malah sehingga sampai ke tahap boleh pegang jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan negeri yang mereka kuasai...orang muda boleh pegang jawatan penuh tanggungjawab. Bila sampai PRU14, mungkin 2018, orang macam ini yang akan mengetuai pilihan raya.

"Waktu tu mungkin pemimpin dinosaur dalam Pakatan Rakyat dah tak ada. Yang ada pemimpin baharu, pelapis, dan ada daya tarikan sendiri tetapi berpengalaman sebab dah diberi pendedahan lebih awal. Orang macam ini yang Umno akan berhadapan. "Kalau pembaharuan tak dibuat dalam Umno dan BN (Barisan Nasional) cuba bayangkan kemungkinan untuk kita dapat pertahankan 133 kerusi Parlimen yang ada sekarang, malah untuk tambah lagi. Itu yang saya bimbangkan. Wajib (berubah)," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kedudukan beliau sebagai Menteri Besar mungkin menjadi kekangan kepada beliau dalam mendapatkan sokongan daripada perwakilan di seluruh negara.

"Sebagai calon kena minta sokongan dari seluruh negara. Di sini saya ada kekangan. Saya Menteri Besar di Kedah ada tanggungjawab perlu digalas. Mungkin tak ada masa seluas-luasnya untuk bergerak banyak kali ke seluruh negara untuk berkempen.

"Bukan hanya (perlu dapat sokongan dari perwakilan) di utara walaupun daripada enam nama untuk calon Naib Presiden saya seorang dari utara," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain