suria

Kes Tuntutan Taraf Warganegara Tiga Wanita Selesai

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang berkaitan taraf warganegara yang difailkan tiga wanita berketurunan India kelahiran Malaysia terhadap kerajaan berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di Mahkamah Tinggi pada Rabu.

Kedua-dua pihak merekodkan persetujuan penyelesaian itu di hadapan Hakim Datuk Zaleha Yusof di dalam kamarnya.

Peguam Eric Paulsen dan Latheefa Koya, yang mewakili S.Letchumy dan dua anak perempuannya K.Sarojini dan K. Mala, memberitahu pemberita bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil pengesahan kewarganegaraan mengikut undang-undang kepada anak guam mereka pada 6 September.

"Pada 13 September, JPN mengeluarkan MyKad kepada pemohon (Letchumy, Sarojini and Mala)," kata Eric.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili responden, Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, berkata pemohon memperoleh MyKad masing-masing minggu lepas.

Katanya mahkamah tidak mengeluarkan perintah berkaitan kos.

Pada 17 Julai, Zaleha meminta kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu.

Pada 22 Januari, Letchumy, 70, yang lahir di Tanjung Sepat, Selangor, dan Sarojini, 33, serta Mala, 35, yang lahir di Banting, Selangor, memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semakan semula kehakiman bagi mencabar keputusan JPN bertarikh 29 September tahun lepas.

Dalam permohonan itu, wanita berkenaan memohon perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan JPN bahawa mereka tidak layak memohon taraf warganegara Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Sarojini dan Mala adalah warganegara Malaysia mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga wanita berkenaan juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah supaya memerintahkan JPN mengeluarkan MyKad kepada mereka.

Pemohon juga mendakwa JPN gagal memberi pertimbangan terhadap latar belakang tempat kelahiran mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain