suria

Kereta-Kereta Mewah Itu Bukan Milik Saya - Suhaimi

Suhaimi Ibrahim
Suhaimi Ibrahim
Suhaimi Ibrahim

PETALING JAYA: Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri yang disiasat kerana dakwaan penyalahgunaan dana program kebajikan 1Azam telah mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi ini.

Datuk Suhaimi Ibrahim menjelaskan bahawa beliau telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan manakala 10 kereta yang disita suruhanjaya itu bukan miliknya.

"Kereta-kereta yang digambarkan dalam banyak akhbar dan portal dalam talian bukan kepunyaan saya. Ia memberi gambaran yang salah, seolah-olah saya mengamalkan gaya hidup mewah.

"Saya pergi ke pejabat SPRM (di Putrajaya) menggunakan Toyota Alphard yang dimiliki oleh Yayasan Sayang Malaysia," katanya ketika ditemuramah pada Rabu.

Yayasan Sayang Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan di mana Suhaimi memegang jawatan sebagai presiden.

Ia telah ditubuhkan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Ditanya mengenai kenderaan mewah yang disita, Suhaimi berkata ia mungkin milik saksi-saksi lain yang turut disoal siasat oleh SPRM.

Beliau bingung bagaimana 10 buah kereta mewah yang dirampas dikaitkan dengan dirinya.

"Bukan saya seorang sahaja yang disoal siasat (SPRM).

"Pegawai-pegawai lain daripada kementerian pun turut sama dipanggil," kata beliau.

Suhaimi berkata, beliau akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam menjalankan siasatan tetapi menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan.

"Saya telah memberikan kenyataan saya kepada SPRM yang mana ia telah diadakan di ibu pejabat sehingga Selasa.

"Saya hanya sekadar membantu dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, setiap pihak harus membiarkan SPRM menyiasat kes itu dengan teliti.

"SPRM perlu diberi ruang untuk menyiasat perkara itu dan meneroka setiap sudut.

"Saya berharap kes itu tidak akan menjejaskan program 1Azam, yang berjalan dengan baik," katanya.

Menurut sumber, 'Datuk' berusia 54 tahun telah ditahan pada hari Jumaat, kira-kira pukul 5 petang di Putrajaya dan dibawa ke ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat.

Pengarah penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan penangkapan dan siasatan berkaitan kes 1Azam.

Mustafar bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut dan berkata pegawainya masih menyiasat kes itu.

Difahamkan SPRM telah merampas 10 kenderaan mewah, termasuk sebuah Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Golf GTI.

Program 1Azam merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan pada Januari 2010 untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dalam sektor perniagaan, perkhidmatan dan pertanian.

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain