suria

"Hitler Berperang Dengan Eropah 5 Tahun Orang Tak Dapat Maafkan, Chin Peng Berperang 41 Tahun Dengan Kita Kenapa Perlu Maafkan Dia," - Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyokong pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke negara ini bagi urusan pengebumian.

Musa berkata, keputusan tersebut wajar kerana kekejaman yang dilakukannya terhadap anggota polis, tentera dan orang awam pada waktu itu tidak dapat dimaafkan.

Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok kira-kira jam 6.20 pagi Isnin lalu kerana sakit tua - sebulan sebelum tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-89.

Beliau dilahirkan pada 21 Oktober, 1924.

"Tak perlulah bawa dia pulang. Sesetengah orang tidak boleh memaafkannya. Saya rasa keluarga yang menjadi mangsa di atas kekejaman itu tidak boleh menerima permintaan anggota keluarga mendiang Chin Peng.

"Lagipun dia sudah lama tinggalkan negara ini...biarlah dia bersemadi di tempat dia meninggal. Kita kena hormati kehendak majoriti rakyat negara ini," katanya selepas mengumumkan penubuhan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini, Khamis.

Ketika ditanya mengapa begitu sukar untuk sesetengah pihak memaafkan Chin Peng berbanding penjajah British, Musa berkata dia adalah pengganas dan ingin mewujudkan sistem pemerintahan komunis di negara ini.

"British penjajah tetapi mereka membangunkan negara kita. Apabila kita tuntut kemerdekaan mereka bagi, tapi komunis nak ubah sistem pemerintahan (kepada sistem komunis).

"Sebagai contoh, Hitler berperang dengan Eropah lima tahun...sampai sekarang orang benci Hitler...komunis berperang dalam negara ini 41 tahun. Kalau Hitler orang tak boleh maafkan, kenapa kita nak maafkan dia (Chin Peng)," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain