suria

Diskaun 20 Peratus Pinjaman PTPTN Tidak Akan Dilanjut Selepas 30 September

IPOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak bercadang melanjutkan tempoh pemberian diskaun 20 peratus ke atas pembiayaan yang diberi kepada peminjam selepas tarikh akhir 30 September ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi memberi peluang kepada peminjam menikmati diskaun itu, PTPTN akan melanjutkan tempoh operasi perkhidmatan kaunter di semua pejabat PTPTN negeri, Pusat Sehenti di KL Sentral dan perkhidmatan Hotline agensi itu selama 10 hari mulai Sabtu ini.

"PTPTN menyeru supaya para peminjam yang masih belum melaksanakan bayaran balik supaya mengambil peluang untuk menikmati pemberian diskaun 20 peratus, kerana kita tidak berhasrat melanjutkan tawaran ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di pejabat PTPTN Perak di sini, Khamis.

Katanya mulai 21 hingga 30 September ini, kaunter PTPTN di ibu pejabat, pejabat negeri dan Pusat Sehenti di KL Sentral akan beroperasi seawal 8.30 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja manakala bagi hari cuti hujung minggu dan cuti umum operasi bermula 9 pagi sehingga 6 petang.

Waktu operasi perkhidmatan Hotline PTPTN di talian 03-2080 445 pula diselaraskan bermula 8 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada cuti hujung minggu dan cuti umum, katanya.

"Kita melihat perkembangan mutakhir dengan ramai peminjam berkunjung ke pejabat kita di seluruh negara, namun mengambil kira permintaan ramai yang menghadapi kesukaran berbuat demikian kerana kekangan masa dan bekerja, kita bersetuju melanjutkan operasi kita termasuk hujung minggu dan cuti umum supaya mereka dapat berurusan dengan PTPTN," katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2013, kerajaan mengumumkan pemberian insentif diskaun itu kepada peminjam yang membayar secara sekali gus dalam tempoh 1 Okt 2012 hingga 30 September tahun ini.

Shamsul Anuar berkata bagi tempoh 1 Oktober 2012 hingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 57,210 peminjam telah menyelesaikan pinjaman secara sekali gus yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM444.3 juta berikutan tawaran diskaun 20 peratus yang diumumkan kerajaan.

"Daripada jumlah pembiayaan itu, sebanyak RM355.4 juta kita terima sebagai bayaran balik pinjaman, manakala RM88.9 juta adalah diskaun pengurangan bayaran balik sebagai hadiah kepada peminjam PTPTN," katanya.

Daripada 57,210 peminjam yang membuat bayaran balik secara sekali gus, 3,384 peminjam adalah mereka yang disenaraihitamkan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM27.3 juta, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Thai Bebas Tuduhan Rogol Anak

Artikel Berikut

Artikel Lain