suria

SKMM Diminta Siasat Segera FB MB Terengganu Digodam

HULU TERENGGANU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah menyiasat segera perbuatan menggodam laman Facebook Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dua hari lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata sejak kebelakangan ini pihaknya mendapat banyak laporan berhubung aktiviti menggodam Faceboook berlaku dan perkara ini perlu dibendung.

"Saya telah mendapat permohonan pejabat Menteri Besar (supaya kes ini disiasat) dan telah memajukan perkara itu kepada SKMM," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kayuhan Sihat Merdeka' anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di sini Rabu.

Jailani turut menyarankan pemilik Facebook atau laman sosial lain supaya mengambil langkah keselamatan untuk mendindingi akaun mereka daripada digodam.

Sementara itu Setiausaha Akhbar Menteri Besar Rosli Zakaria telah membuat laporan polis berhubung tindakan menggodam Facebook Ahmad Said itu.

Dalam laporan itu beliau mendakwa pihak berkenaan menyamar sebagai pemimpin negeri dan memanipulasi maklumat pentadbiran kerajaan.

Mengenai program Kayuhan Merdeka sempena Bulan Kemerdekaan itu, Jailani berkata selain menyihatkan badan, aktiviti sukan juga boleh merapatkan perpaduan kakitangan jabatan dan masyarakat.

Program itu bermula Selasa di Kemaman dan seterusnya ke Besut melibatkan 50 peserta berbasikal dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan dibantu 30 pengayuh dari setiap Jabatan Kesihatan Daerah.

"Pagi ini, saya turut mengayuh basikal kira-kira empat kilometer bersama (Pengarah Kesihatan) Datuk Dr Anwa (Sulaiman) dan (Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu) Datuk Ahmad Sidi (Ismail)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain