suria

Malaysia Bertuah Kerana Berjaya Tolak Fahaman Komunis - Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi negara yang aman dan makmur seperti hari ini kerana pemimpin kemerdekaan terdahulu berjaya menolak fahaman komunis, kata Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata fahaman komunisme telah cuba diterapkan sebagai pengisian zaman selepas kemerdekaan tetapi gagal membentuk sebuah negara bangsa berteraskan fahaman itu.

Katanya rakyat Malaysia harus mengambil iktibar daripada negara-negara yang mengamalkan fahaman komunisme seperti Vietnam, Rusia dan China yang terbukti mengalami penderitaan, sehinggakan ada yang menolak dan meninggalkan fahaman itu.

"Kita bertuah kerana berjaya menolak fahaman komunis. 16 Sept perlu dilihat dari aspek cahaya dan kegelapan, kebenaran melawan kepalsuan, kebaikan menentang keburukan," katanya pada pelancaran Setem 50 Tahun Malaysia dan Sampul Surat Hari Pertama di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Pengerusi Pos Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Khamil Jamil serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Shahril Tarmizi.

Ahmad Shabery berkata pengalaman pahit yang mengganggu pertumbuhan ekonomi, sosial, adat resam dan agama seperti dialami negara-negara yang pernah mengamalkan fahaman komunis tidak mustahil berlaku di negara ini.

Tambahnya, sejarah membuktikan Malaysia mampu berkembang selepas kemerdekaan, walaupun menjadi rebutan pelbagai pihak untuk mengembangkan ideologi masing-masing.

"Negara menjadi besar bukan melalui penaklukan tetapi melalui satu perundingan sehinggakan Semenanjung, Sabah dan Sarawak duduk bersama membentuk entiti baharu bernama Malaysia.

"Kehebatan skil Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) menjadikan kita sebuah negara besar berdasarkan perundingan, persahabatan, keharmonian dan lain-lain," tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memuji Pos Malaysia yang mengambil inisiatif mengeluarkan setem kenang-kenangan dengan gambar Tunku Abdul Rahman sempena sambutan 50 tahun penubuhan Malaysia pada 16 September.

"Apabila Pos Malaysia mengabadikan gambar beliau pada setem, saya katakan pencipta dan pereka grafik setem ini mempunyai pengertian dan pengamatan yang mendalam tentang erti sebenar Malaysia dan kemerdekaan. Tahniah kepada Pos Malaysia," katanya.

Ahmad Shabery juga berkata Pos Malaysia mampu menjadi sebuah institusi yang bukan sahaja maju, malah boleh melengkapi kaedah perhubungan komunikasi yang lain dengan komitmen dan kesungguhan oleh pemimpin dan kakitangannya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus membantu organisasi itu yang mempunyai kira-kira 17,000 tenaga kerja dan majoritinya anak tempatan, untuk terus berjaya seiring perkembangan teknologi.- BERNAMA

Artikel Lain