suria

Khidmat Pakar Ditawar Kaji Jalan Genting Highlands

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya bersedia menawarkan khidmat pakar audit kepada pengendali Jalan Genting Highlands bagi menambah baik jalan berkenaan, yang merupakan lokasi kejadian nahas bas yang meragut 37 nyawa pada 21 Ogos lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata memandangkan ia merupakan jalan persendirian, penambahbaikan terhadap jalan itu tertakluk kepada pengendalinya.

"Kementerian bersedia menawarkan pakar untuk membuat audit dan seterusnya memberikan cadangan bagi penambaikan supaya jalan itu lebih selamat dan kurang risiko kemalangan.

"Ini terserah kepada mereka, sekiranya mereka setuju, kita bersedia menghantar pakar-pakar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan ekspo 'Ecobuild Southeast Asia' 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas status terkini penambahbaikan Jalan Genting Highlands di mana 37 orang termasuk pemandu bas maut selepas bas yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di KM3.6 jalan itu.

Katanya kementerian kini sedang mengkaji kawasan hitam di kesemua jalan raya seluruh negara untuk penambahbaikan secara menyeluruh.

Mengenai usaha meningkatkan penggunaan tenaga lebih mesra alam, Fadillah berkata kementerian akan terus mengadakan projek perintis mengkaji penggunaan teknologi pencahayaan terkini yang lebih efisien bagi menggantikan lampu jalan sedia ada di kesemua jalan raya di seluruh negara.

"Bukan sahaja LED, tengok teknologi yang mana ada untuk dibuat projek perintis dan dari situ akan dibuat kajian, yang mana yang lebih bagus bukan sahaja dari segi penjimatan tenaga tetapi lebih lebih efisien dan mesra alam," katanya, sambil menambah bahawa banyak lebuh raya kini menggunakan lampu LED hasil projek perintis yang dijalankan.

Persidangan tiga hari yang diadakan kali pertama di Malaysia telah menarik penyertaan 250 pempamer dari 22 negara termasuk Singapura, Kanada, China dan Taiwan. BERNAMA

Artikel Lain