suria

Kadar Minimum Saman AES RM150 - Hishammuddin

Hishamuddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan AES di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Rabu.-fotoBERNAMA
Hishamuddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan AES di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Rabu.-fotoBERNAMA
Hishamuddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan AES di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Rabu.-fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kadar minimum saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dicadangkan RM150 dan cadangan itu akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, katanya kadar maksimum RM300 akan dikenakan sekiranya pesalah membayar lewat dan juga bergantung kepada kesalahan tahap had laju (dirakam AES).

"Bagi status saman-saman tertunggak AES, mesyuarat jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang bersidang hari ini telah bersetuju bahawa isu berkenaan akan turut dibawa ke kabinet untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu berkaitan pelaksanaan AES di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di sini Rabu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam mesyuarat berkenaan, anggota tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Operasi AES membentangkan hasil laporan berkaitan AES.

Hishammuddin berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai operasi dan penguatkuasaan AES kerana pihak peguam negara buat masa ini telah membekukannya sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata isu berkaitan AES hampir selesai dan operasi dan penguatkuasaan AES akan diumumkan kepada awam kelak dan sebuah syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd akan mengambil alih syarikat yang menguruskan AES sebelum ini iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

"Sehubungan itu, Kementerian Kewangan akan melantik sebuah firma audit bebas bagi memastikan harga yang dibayar dalam urusan pengambilalihan syarikat adalah adil dan munasabah dan dibuat secara telus dan adil bagi mengelak timbulnya tuduhan 'bail-out' kelak.

"Pengambilalihan syarikat ini merupakan jalan terbaik dalam meneruskan operasi penguatkuasaan AES bertujuan mengurangkan kadar kemalangan (dipasang di kawasan) yang dikenal pasti sebagai kawasan yang mencatatkan jumlah kemalangan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata pihak polis akan menguruskan berkaitan penguatkuasaan, operasi dan pengeluaran saman AES manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertanggungjawab berkaitan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang membolehkan lesen memandu pesalah trafik digantung sekiranya gagal menjelaskan saman ataupun melakukan kesalahan berulang kali.

Selain itu, pihak polis telah bersetuju mulai Rabu semua operasi kamera penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diwajibkan meletakkan papan tanda amaran kepada pengguna jalan raya di kawasan operasi had laju, katanya.

Katanya kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk meletakkan AES di sekitar kawasan Genting Highlands, Pahang, yang dikenal pasti sebagai kawasan bahaya dan kerap berlaku kemalangan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu.

Beliau berkata AES adalah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat memandu laju. - BERNAMA

Artikel Lain