suria

Penamaan Calon MIC Peringkat Bahagian 27-29 September

PETALING JAYA: Penamaan calon MIC untuk peringkat bahagian akan diadakan antara 27 September dan 29 September, membuka jalan bagi pemilihan parti fasa kedua.

Pemilihan bagi bahagian dijadualkan antara 6 Oktober dan 19 Oktober.

Setiausaha Agung MIC, A. Sakthivel berkata, pemilihan itu penting kerana perwakilan yang dipilih akan mengundi untuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menang tanpa bertanding menjadi presiden parti kelapan pada 1 September lalu.

Dilaporkan bahawa Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mempunyai perjanjian bahawa kedua-dua jawatan tertinggi seharusnya tidak dipertandingkan berikutan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Palanivel menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan akan datang yang dijadualkan pada 2016.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, beliau berkata beliau mahu Dr Subramaniam akan menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa bekas naib presiden MIC, Datuk S. Sothinathan mungkin akan bertanding untuk jawatan nombor dua parti itu.

Pada 2009, Sothinathan menyertai pertandingan tiga penjuru untuk jawatan itu, berhadapan dengan penyandang jawatan ketika itu, Palanivel dan bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam.

Palanivel menang dalam pertandingan itu.

Bagi pertandingan bagi tiga jawatan naib presiden, dijangka terdapat lebih 10 pemimpin akan menyertai persaingan itu.

Mereka termasuk penyandang jawatan berkenaan iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan speaker DUN Perak, Datuk SK Devamany, pengarah strategik parti, S. Vell, bekas Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu dan kontraktor Johor, Datuk S. Balakrishnan.

Bendahari parti Datuk Jaspal Singh, yang menjelajah ke seluruh negara untuk bertemua dengan anggota MIC peringkat bahagian, juga dijangka akan bertanding untuk salah satu daripada tiga naib presiden tersebut.

Lain-lain pesaing yang mungkin dijangka termasuk bendahari MIC Selangor, N. Rawisandran yang tidak berjaya bagi DUN Batu Caves pada pilihan raya umum baru-baru ini, serta bekas setiausaha agung, Datuk S. Murugessan dan pengerusi bahagian Klang, Raghu Moorthy.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan dalam pergerakan itu, turut dijangka akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden.

Palanivel berkata, beliau menjangkakan ramai berminat untuk bertanding bagi jawatan naib presiden dan CWC, apabila 185 orang telah pun menyatakan hasrat mereka untuk bertanding.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain