suria

Pemantauan Kesihatan Mental Anggota PDRM Akan Dipertingkat - Bakri Zinin

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaam dapat dibantu dari awal.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata langkah itu perlu dilaksana segera untuk mengelakkan tiada anggota atau pegawai PDRM hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan.

"Kita perlu lebih prihatin dalam membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah. Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang Piala Ketua Polis Negara 2013, di sini, Ahad.

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang lans koperal menembak isteri serta bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri di Labis, Johor, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri berkata polis tidak menolak kemungkinan anggota terbabit mengalami masalah tekanan perasaan, namun polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar. "Kita akan melihat kejadian ini daripada pelbagai sudut, termasuk siasatan di peringkat dalaman. Selain itu, kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya.

Dalam kejadian malam semalam, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, yang tinggal di Kampung Padang Lerek 1, kira-kira 90 kilometer dari lokasi kejadian pertama.

Isteri suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapa mentuanya pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Suspek juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam PDRM adalah seorang anggota yang berdisiplin sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, PDRM akan mempertingkatkan kawalan sempadan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) berikutan tindakan tentera Filipina menggempur kumpulan pemisah yang menceroboh Zamboanga.

"Kita sentiasa memantau kawasan terbabit supaya tidak sewenangnya diceroboh individu atau kumpulan daripada Filipina yang mahu melarikan diri akibat pergolakan yang tercetus. "Bilangan anggota kita yang ditempatkan untuk mengawal kawasan terbabit sudah mencukupi dan mampu mengawal sempadan daripada diceroboh," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain