suria

Isu Peningkatan Kos Sara Hidup Rakyat Sentiasa Menjadi Perhatian Kerajaan - Hasan Malek

TAWAU: Menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.

Katanya kerajaan memberi perhatian serius berhubung isu berkenaan kerana kerajaan memahami beban hidup rakyat serta atas dasar demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

"Selaras dengan janji kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, maka kerajaan membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang berkonsepkan kedai serbaneka dengan menjual semua keperluan asas rumah. "KR1M mampu menawarkan pengurangan harga sehingga 50 peratus lebih murah daripada barangan sama berjenama lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan KR1M di Km3.2 Jalan Apas di sini, Ahad.

Hasan berkata sebanyak 397 jenis produk dijual di KR1M berkenaan dengan harga yang murah dan pada masa yang sama kualiti dan keselamatannya dikekalkan seperti produk-produk sama yang lain.

Katanya pada masa ini terdapat lima KR1M beroperasi di Sabah iaitu masing-masing di kawaswan Parlimen Tawau, Parlimen Tuaran, Parlimen Kota Belud, Parlimen Sepanggar dan Parlimen Putatan sementara lapan KR1M lagi sedang dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

"Selain daripada harga yang murah, KR1M juga membantu memasarkan produk-produk hasil daripada keluaran pengusaha tempatan khususnya sektor Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Secara tidak langsung, ianya juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada anak tempatan," katanya.

Sementara itu Hasan juga berkata kementeriannya merancang untuk mewujudkan satu KR1M di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara meskipun menghadapi masalah seperti tanah dan tapak yang sesuai dan pada masa ini sudah terdapat 97 KR1M di seluruh negara.

Menurut Hasan, kewujudan KR1M bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana peruncit sedia ada tetapi ianya adalah untuk memberikan pilihan khususnya kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Hasan meminta rakyat supaya lebih prihatin pengenai peyelewengan barangan bersubsidi dengan menyampaikan maklumat sekiranya terdapat penyelewengan bagi mengelak ketirisan barangan bersubsidi yang hanya merugikan kerajaan dan rakyat sendiri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain