suria

Polis Punyai Kuasa Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa - Rohani

MELAKA: Dalam kes melibatkan Akta Kanun Tatacara Jenayah, polis mempunyai kuasa untuk menyoal siasat kanak-kanak tanpa kebenaran atau kehadiran ibu bapa atau penjaga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Bagaimanapun, katanya bagi siasatan kes di bawah Akta Kanak-Kanak, polis melalui Bahagian Siasatan Seksual/Penderaan Kanak-Kanak (D11) perlu menyoal siasat kanak-kanak dengan kehadiran pegawai kebajikan, ibu bapa atau penjaga.

"Pegawai bahagian ini (D11) merupakan pegawai yang terlatih bagi mengadakan siasatan terhadap kumpulan sasar ini.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana apapun kes disiasat sama ada Akta Kanun Tatacara Jenayah atau Akta Kanak-kanak, kami di kementerian akan memastikan kebajikan kanak-kanak sentiasa dijaga," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Transformasi Bandar Melaka di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penyelaras Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Malaysia, Edmund Bon Isnin lepas menyarankan ibu bapa menyaman polis jika anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah disoal siasat pasukan itu tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga.

Bon dalam sebuah portal berita pada 5 September lepas turut mendakwa tindakan polis menyoal murid Sekolah Kebangsaan Sri Pristina Sungai Buloh, Selangor berhubung kontroversi pelajar makan dalam tandas adalah menyalahi Seksyen 113, Akta Kanak-Kanak.

Rohani berkata, apa yang pasti ialah tindakan polis menyoal murid sekolah itu bukan membabitkan kes di bawah Akta Kanak-kanak.

"Setakat ini kami tidak mendapat fakta jelas penyiasatan itu dijalankan mengikut undang-undang (akta) apa tetapi pastinya bukan di bawah Akta Kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Rohani meminta wanita yang didiskriminasi majikan atau dinafikan pekerjaan kerana bertudung agar melaporkan perkara berkenaan kepada mana-mana agensi di bawah kementerian tersebut.

"Wanita tidak perlu takut untuk tampil ke depan, kami sentiasa melindungai mereka. Kami terlebih dahulu akan memanggil majikan untuk mendengar penjelasan mereka sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Sekiranya benar (berlaku diskriminasi) kami tidak akan teragak-agak untuk membawa kes tersebut ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan undang-undang, malah Pejabat Peguam Negara juga mempunyai unit khas untuk menangani kes melibatkan diskriminasi wanita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain