suria

PAS Digesa Kaji Hubungan Dengan PKR

PETALING JAYA: PAS digesa mengkaji semula kerjasama politiknya dengan Parti Keadilan rakyat (PKR) bagi memastikan hala tuju parti itu tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Gesaan itu dibuat menerusi resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Ulama Se-Malaysia anjuran Dewan Ulama PAS Pusat pada Sabtu.

"Multaqa (perhimpunan) Ulamak Se-Malaysia mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi (kerjasama politik) bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Perkara ini bagi tujuan menjaga maslahah (faedah) dan membendung serta menghalang mafsadah (kejahatan) Syar'iyyah," demikian menurut resolusi berkenaan.

Perhimpunan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Isu kerjasama politik antara PAS dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang pernah menjadi polemik dalam parti itu tahun lalu apabila bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa PAS sudah lari daripada matlamat asal perjuangannya.

Malah Nasharuddin yang ketika itu juga masih menjadi ahli Majlis Syura Ulama turut menggesa agar PAS mengkaji semula kerjasama mereka dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun pada Muktamar PAS ke-58 di Kota Baharu November tahun lalu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menegaskan Majlis Syura mengambil ketetapan bahawa PAS masih lagi parti yang sama sejak ia ditubuhkan.

Penegasan itu sekaligus mengukuhkan pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain