suria

Ismail Omar Terima Watikah Pelantikan Duta Besar Malaysia Ke Perancis

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar antara enam Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini, Jumaat.

Ismail dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis.

Turut menerima watikah pelantikan ialah tiga Duta Besar Malaysia iaitu Datuk Salman Ahmad yang akan ke Jerman, Datuk Rohana Ramli ke Korea Selatan, dan Raszlan Abdul Rashid ke Kemboja.

Selain itu, dua Pesuruhjaya Tinggi iaitu Datuk Awang Sahak Awang Salleh ke Brunei dan Jilid Kuminding@Zainuddin ke Papua New Guinea.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Ismail, 60, memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa dan menyertai Polis Diraja Malaysia selama 40 tahun sejak 1971.

Sementara itu Salman, bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia sejak 2009 dan berkhidmat dengan Kementerian Luar sejak 1979, pernah bertugas di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk di Republik Czech, India, Jepun dan Thailand.

Rohana, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan Kementerian Luar dan mula menyertai perkhidmatan awam dengan kementerian itu sejak 1984, pernah bertugas sebagai Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva dan Duta Besar Malaysia ke Argentina.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Raszlan pernah bertugas di Kosovo dan Thailand, manakala Jilid, bekas Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong pernah berkhidmat di Sweden dan Namibia.

Awang Sahak pula lulusan ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Luar Bandar) dari Wageningen University Netherlands, dan merupakan bekas pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah serta Naib Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain