suria

Warden Penjara Gagal Seludup Dadah, Rokok Kepada Banduan

KUALA LUMPUR: Seorang warden penjara gagal menyeludup masuk dadah untuk dibekalkan kepada banduan di dalam penjara apabila pemeriksaan rutin ke atasnya menemui dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam stokin di kedua-dua belah kakinya.

Timbalan Pengarah Data Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Supri Hashim berkata pemeriksaan ke atas warden di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak pada Jumaat lepas, turut menemukan lima batang rokok yang disorok di dalam seluar dalamnya.

"Sewaktu pemeriksaan oleh anggota JPM kira-kira 7 pagi, terdapat beberapa bungkusan kecil yang mengandungi dadah jenis Methaphetamine atau syabu yang disorokkan di dalam stokin dan rokok di dalam seluar dalam yang dipakainya.

"Sebagai prosedur, kita serahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Supri berkata tindakan itu dianggap satu penyelewengan dan langkah tegas wajar diambil bagi mengekang perbuatan berkenaan.

"Jika seludup rokok pun kita akan kenakan tindakan buang kerja, apatah lagi seludup dadah seperti ini," katanya.

Supri berkata pemeriksaan rutin 100 peratus itu dilakukan setiap hari terhadap setiap petugas JPM.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata bagi mengekang kegiatan itu, JPM perlu menjalankan pemeriksaan secara imbasan sinar-X terhadap anggota yang bertugas selain pemeriksaan secara fizikal.

"Isu ini bukan isu baharu, JPM perlu meningkatkan tahap pemeriksaan terhadap anggota yang bertugas antaranya imbasan sinar-X seperti yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ada juga warden yang menyeludup dadah melalui dubur," dakwanya.

Beliau berkata kegiatan itu dilakukan berikutan habuan lumayan menanti mereka yang sanggup menggadaikan prinsip dan integriti diri.

"Mereka dibayar mengikut cara penyeludupan dilakukan. Lagi sukar cara ia diseludup, lagi mahal. Jika dengan hanya menyorokkan pada fizikal boleh meraih antara RM300 dan RM500, apatah lagi sekiranya disorokkan di dalam badan atau dubur," katanya.

Jeevan mendakwa kegiatan penyeludupan dadah dalam kalangan warden berlaku apabila 'kepala' blok banduan memaksa banduan baru membekalkan dadah dan rokok sebagai syarat sekiranya mereka inginkan 'perlindungan'.

"Kepala blok ini biasanya akan menyalurkan maklumat kepada banduan baru itu siapa dalam kalangan warden yang menjalankan kegiatan penyeludupan dadah, rokok atau sebagainya.

"Seterusnya banduan tersebut akan menghubungi keluarga, waris atau kenalan mereka yang berada di luar untuk membuat pembayaran kepada warden tersebut untuk melaksanakan penyeludupan berkenaan. Selagi ada permintaan, di situ ada perniagaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain