suria

MCA Tidak Akan Adakan EGM Sebelum 22 September

PETALING JAYA: MCA bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), tetapi ia tidak akan diadakan sebelum 22 September 2013 seperti yang diminta.

Setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha berkata ini berikutan tarikh jangkaan EGM diadakan jatuh selepas tarikh pencalonan Bahagian MCA (16 September 2013) dan mungkin juga serentak dengan pilihan raya Bahagian (22 September 2013).

"Tiada bantahan terhadap permintaan mengadakan EGM oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, tetapi ia tidak mungkin diadakan pada tarikh yang dinyatakan beliau iaitu sebelum 22 September 2013.

"Surat jawapan rasmi telah diserahkan kepada beliau serta tiga yang lain," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Jumaat.

Katanya, pada masa ini MCA Bahagian sibuk membuat persediaan untuk pemilihan Bahagian dan Perhimpunan Agung Bahagian mengikut Perlembagaan Parti.

"Jika Setiausaha Agung mengisukan Notis mengadakan EGM, EGM terikat dengan tarikh Perhimpunan Agung (22 September 2013) di mana akan ada satu senarai baru Perwakilan Pusat.

"Dalam erti kata lain, jika kita mengeluarkan Notis EGM bagi Perwakilan Pusat yang sedia ada dan mereka menghadiri EGM pada satu tarikh selepas senarai Perwakilan Pusat baru telah dipilih, ini pasti akan membawa kepada persoalan mengenai kesahihan antara Perwakilan Pusat sedia ada dan Perwakilan Pusat baharu yang menghadiri EGM dan akan mencetuskan isu-isu undang-undang," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa selepas pencalonan Bahagian pada 16 September 2013, dijangkakan bahawa ramai calon akan dipilih tanpa bertanding.

"Menurut rekod yang lepas, kira-kira 80 peratus daripada Perwakilan Pusat baru akan muncul selepas pencalonan.

"Ini bermakna kebanyakan Perwakilan Pusat akan muncul selepas 16 September 2013 dan mereka layak untuk menghadiri EGM itu," katanya.

Liow dan 13 anggota lain jawatankuasa pusat (CC) MCA meminta diadakan EGM dalam masa tujuh hari, dengan menyatakan bahawa pembatalan penggantungan Tee oleh CC bertentangan dengan resolusi parti dibuat pada 2011 dan 2012.

Menurut perlembagaan parti, EGM boleh diadakan dalam tempoh 21 hari selepas pengeluaran notis kepada perwakilan pusat.

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain