suria

Kerajaan Akan Guna Budi Bicara Laksana AES - JPJ

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggunakan budi bicara dalam pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) apabila mengambil alih operasi dan penguatkuasaan sistem itu kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Ismail Ahmad berkata antara perkara yang akan diambil kira ialah lokasi pemasangan kamera AES.

"Sebelum ini, pemasangan AES terikat kepada perjanjian. Mengikut perjanjian, sebanyak 1,093 kamera AES akan dipasang di seluruh negara dan kadar sama ialah RM300 bagi setiap kesalahan.

"Apabila kerajaan mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES, kita ada formula lain dan boleh guna budi bicara. Lokasi pemasangan akan mengikut keutamaan," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.

Beliau berkata selain mengutamakan laluan dengan had laju 110 kilometer sejam terlebih dahulu, lokasi pemasangan kamera AES juga akan mengambil kira kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam Datuk Omar Osman dan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di pejabatnya.

Ditanya mengenai perkembangan pengambilalihan AES itu, Ismail berkata proses berkenaan akan mengambil masa kerana perlu menyelesaikan banyak isu termasuk aspek perundangan.

Bulan lepas Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor berkata kerajaan akan mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES daripada syarikat pengendali.

Sebanyak 14 kamera AES beroperasi sejak sistem itu dikuat kuasa September 2012, dan setakat 11 Jun lalu kerajaan mengeluarkan 673,339 saman dan mengutip kompaun sekitar RM20 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain