suria

JLKN Beri Tempoh Seminggu Untuk Kem White Resort Baiki Keadaan

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Balik Pulau, Pulau Pinang diberi tempoh seminggu untuk memperbaiki keadaan di kem itu.

Pemangku Ketua Pengarahnya Rozainor Ramli berkata pihaknya juga akan memantau operasi kem itu setiap hari bermula hari ini dan jika pengendali gagal membaiki keadaan, JLKN akan memindahkan pelatih ke kem lain. "Kita telah bertemu dengan pelatih dan mendengar suara hati mereka... semua pelatih bersemangat meneruskan modul latihan di sini sehingga 31 Okt ini, cuma mereka tidak berpuas hati dengan aspek kebersihan kem dan penyediaan makanan serta penginapan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut di kem itu, di sini, Khamis.

Beliau berkata pemantauan serupa juga akan dilakukan di kesemua 81 kem PLKN di seluruh negara.

Katanya kem itu yang ditubuhkan pada 2008 mempunyai reputasi baik dan pernah dinobat sebagai kem PLKN terbaik seluruh negara.

Rozainor juga meminta ibu bapa pelatih terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada JLKN dalam usaha mendidik anak mereka menjadi insan yang memiliki daya tahan yang tinggi serta berjiwa patriotik.

"Kami minta supaya ibu bapa tidak bimbang kerana sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjamin keselamatan dan keselesaan mereka (pelatih), cuma perkara ini terjadi di luar kawalan kami," katanya.

Selain itu katanya pelatih juga tidak perlu takut untuk menceritakan masalah yang dihadapi kepada jurulatih kerana setiap aduan akan diberi perhatian yang serius. "Ini merupakan kes yang pertama berlaku pada tahun ini. Saya menghargai setiap maklum balas yang diberi dan menerimanya secara positif, pihak kami akan menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian ini secepat mungkin," katanya.

Semalam, beberapa anggota keluarga pelatih PLKN di Kem White Resort di sini berkumpul di pekarangan kem itu untuk meminta kebenaran pihak pengurusan membawa pulang pelatih.

Sebelum itu kira-kira 200 pelatih dilapor berkumpul dengan beg pakaian masing-masing dan sepakat mahu keluar dari kem berkenaan kerana tidak puas hati dengan keadaan tempat penginapan dan penyediaan makanan di kem terbabit.

Rozainor berkata bagi fasa ketiga ini sebanyak 20,000 pelatih PLKN sedang mengikuti latihan di semua kem di seluruh negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain