suria

Dua Kanak-Kanak Mati Lemas Dalam Kolam

BUKIT MERTAJAM: Dua kanak-kanak berusia sepuluh tahun lemas ketika mandi bersama dua lagi rakan mereka di kolam tadahan air yang dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, di sini, Khamis.

Jurucakap bomba berkata dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, Mohd Faris Izham Hisham dan rakannya Mohd Shamin Abd Karim, ditemui lemas di dasar kolam sedalam lebih 12 meter itu.

Beliau berkata kanak-kanak itu bersama-sama dua lagi rakan yang tinggal di Apartment Permata, Bandar Perda kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, pergi ke kolam air itu untuk mandi.

"Kita terima panggilan pada pukul 1.31 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. Sepasukan anggota bomba unit skuba cuba menyelamat dua kanak-kanak itu bagaimanapun gagal. Mayat ditemui pada pukul 1.45 tengah hari," katanya kepada pemberita di sini.

Seorang Anggota Majlis MPSP, Rizal Hamid berkata beliau melihat dua kanak-kanak berlari dari arah kolam takungan itu sambil menjerit meminta tolong.

"Ketika itu saya sedang menunggu untuk bermesyuarat di MPSP yang dijangkakan pada pukul 2 petang dan tiba-tiba dua kanak-kanak terbabit datang menuju ke arah saya dan memaklumkan dua rakan mereka lemas. Saya segera telefon polis dan bomba memaklumkan kejadian itu," katanya.

Rizal kemudian memanggil beberapa rakannya dan segera ke kolam itu sebelum menjumpai dua pasang selipar dan baju berdekatan kawasan berkenaan.

"Beberapa minit kemudian pihak bomba dan polis sampai untuk melancarkan gerakan mencari dan mayat dua kanak-kanak itu berjaya dinaikkan 15 minit kemudian sebelum dihantar untuk proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam selepas itu," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Faris Izham, Roshiha Abd Malek, 44, yang merupakan ibu tunggal tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui anak tunggalnya meninggal dunia dalam kejadian itu.

Roshiha yang ditemui di Hospital Bukit Mertajam dilihat gagal mengawal perasaannya apabila beberapa kali pengsan hingga terpaksa ditenangkan anggota keluarganya.

"Mereka merupakan rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Bandar Perda tetapi tidak bersekolah kerana cuti sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang sedang berlangsung," kata Roshiha.

Jenazah dua murid itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tengah selepas solat Asar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain