suria

Dadah: Ahli Perniagaan Jerman Dan Pekerja Kedai Besi Buruk Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan Jerman berusia 40 tahun dan pekerja kedai besi buruk berumur 25 tahun pada Jumaat dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana kesalahan berkaitan dadah.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Noor Azian Shaari menjatuhi hukuman mati terhadap Bebou Bouraima selepas dia didapati bersalah mengedar 1.5kg methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 22 Januari 2011.

Beliau turut menjatuhi hukuman mati terhadap L. Patmanathan yang didapati bersalah mengedar 2.8kg ganja di kawasan letak kereta Hospital Sungai Buloh pada 27 Mac 2012.

Hukuman terhadap Bouraima dikenakan selepas pihak pembelaan didapati gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Azian berkata pembelaan Bouraima adalah tidak munasabah, selepas dia mendakwa beg yang mengandungi methamphetamine itu diberikan kepadanya oleh seorang lelaki dikenali sebagai Babu yang ditemuinya hanya selama lima hari di Damsyik, Syria.

Menurut pembelaan, Bouraima berkata Babu memintanya supaya memberikan beg itu kepada Masi, yang dikatakan seorang wanita kenalan tertuduh di Malaysia.

Sungguhpun pembelaan mendakwa Masi sememangnya wujud dan mengunjungi Bouraima semasa dia berada dalam tahanan, namun dadah itu berada dalam pemilikan dan jagaannya, kata Noor Azian.

Beliau menegaskan Bouraima memberitahu mahkamah dia memasuki Malaysia empat kali, termasuk hari dia ditahan, tetapi Noor Azian hairan bagaimana tertuduh yang memperoleh pendapatan bulanan 1,500 Euros (RM6,525), berkemampuan untuk datang beberapa kali ke Malaysia dan pada masa sama menyara isteri serta empat anak angkat.

Bouraima menjadi meradang selepas mendengar hukuman itu dan memberitahu mahkamah hukuman itu tidak adil sambil beberapa anggota polis cuba menenangkannya sebelum membawanya keluar dari mahkamah.

Pendakwa dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asyraf Mohd Kamal manakala Bouraima diwakili peguam Karpal Singh.

Sementara itu, Noor Azian turut menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Patmanathan setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Patmanathan dituduh mengedar dadah yang ditemui di dalam tiga bungkusan lutsinar yang dibawa di dalam sebuah beg plastik di kawasan letak kenderaan Hospital Besar Sungai Buloh.

Noor Azian berkata pembelaan tertuduh yang bergantung kepada keterangan isteri dan ibu mentuanya tidak dapat diterima kerana wujud keterangan bercanggah.

Selain itu, beliau berkata keterangan tertuduh bahawa dia ke hospital kerana menghantar anak dan ibu mentuanya yang sakit adalah tidak logik, sambil melontar persoalan mengapa tertuduh tidak membantu memapah kedua-dua individu itu ke hospital untuk rawatan sebaliknya membiarkan isterinya melakukan semua perkara.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar manakala tertuduh diwakili peguam Tharamjit Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain