suria

Tiga Lelaki Dicari, Bantu Siasatan Kes Pecah Rumah di P.Pinang

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang mencari tiga lelaki yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan beberapa kes pecah rumah di sekitar negeri itu sejak beberapa bulan lepas.

Mereka ialah Muhamad Hafiz Saidi, 32, dari Pokok Tambang, Tasek Gelugor; Kong Teik Chye, 31, beralamat terakhir di Jalan Harbour Place, Seaview Tower, Butterworth; dan Nazrul Abd Wahab, 28, dari Kampung Kuala Tawar, Kulim, Kedah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah, selain kes pecah rumah, ketiga-tiga lelaki itu juga dapat membantu polis menyelesaikan siasatan kes curi kereta dan samun.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar menghubungi balai polis berdekatan bagi bantu siasatan," katanya pada sidang media, di sini, Khamis.

Mengulas kes lain, Mazlan berkata polis yakin dapat menyelesaikan kes seorang pengusaha restoran cedera parah ditembak dalam kejadian di Simpang Ampat, 4 Sept lepas.

"Kita ada maklumat baharu berkaitan kejadian," katanya menambah empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian itu pengusaha restoran berusia 40-an tersebut ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa memberhentikan keretanya di Kawasan Perniagaan Taman Merak di sini pada pukul 3.13 petang.

Mengulas satu lagi kes, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kelopak pistol automatik dan peluru di dalam sebuah kereta di Jalan Kendi, Pusat Perniagaan Taman Indah, Simpang Ampat, di sini 6 September lepas.

Katanya polis akan mengedarkan gambar mereka bagi meminta orang ramai membantu mengesan mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain