suria

Polis Tahan Lelaki Pukul Poster Wajah Pemimpin Dengan Selipar

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana bertindak memukul poster wajah pemimpin negara dengan selipar di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki itu ditangkap oleh sepasukan anggota yang ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat daripada pusat kawalan pada kira-kira 11.25 pagi.

Katanya ketika ditangkap lelaki itu sedang memegang gambar seorang pemimpin negara dan memukulnya dengan selipar.

Suspek, yang bertongkat dengan kaki kirinya bersimen, dikatakan datang berseorangan ke tempat kejadian pada kira-kira 10.30 pagi. Lelaki yang dikatakan mempunyai tiga anak itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentul untuk siasatan.

Ketika dihubungi Bernama pada Khamis, Ku berkata lelaki itu mendakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati rumahnya di Sungai Besi, mengalami masalah paip tandas tidak dipasang, pendawaian elektrik yang tidak sempurna dan dia tidak menerima sebarang bantuan kesihatan walaupun menghidap penyakit kencing manis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pengawal Keselamatan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Sahit Urit memberitahu pemberita bahawa sebelum itu beliau telah menasihati lelaki tersebut supaya tidak melakukan kekecohan dan keluar dari situ tetapi tidak dihiraukannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain