suria

Operasi Batal Lesen Nelayan Tempatan Pajak Bot Kepada Nelayan Asing Diperluas

PUTRAJAYA: Operasi mencari dan membatalkan lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang memajak dan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam diperluas ke kawasan perairan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tegas itu dibuat pada mesyuarat dipengerusikannya Isnin lepas dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis marin.

"Sebelum ini pemeriksaan dilakukan di pelabuhan-pelabuhan sahaja, tetapi selepas mesyuarat pada 9 September, kita telah buat keputusan pemeriksaan dilakukan di laut juga. "Kita akan memeriksa sama ada kapal-kapal kita disewa atau dipajak. Kita tidak mahu kompromi, tidak ada ampunnya. Kita akan tarik balik lesen bot itu dan bot itu tidak boleh digunakan untuk penangkapan ikan lagi," katanya.

Sehingga kini 270 lesen telah dibatal dan 41 lagi lesen dalam proses diambil tindakan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang 'Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif' anjuran kementerian itu di sini, Khamis.

Beliau berkata lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang didapati memajak dan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam akan dibatal serta merta manakala nama mereka disenarai hitam.

Keputusan itu diambil ekoran insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku antara nelayan pukat jerut tempatan dengan nelayan Vietnam pada 2 Sept lepas, kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Pahang, Pahang, katanya.

Selain itu, katanya operasi rondaan juga telah ditingkatkan bagi memberkas penggunaan pukat tunda ganding yang merosakkan hidupan laut.

"Penggunaan pukat tunda ganding adalah diharamkan. Salah satu sebab berlakunya pergaduhan di Kuantan ialah kerana nelayan-nelayan tidak tahan dengan sikap nelayan asing yang menggunakan pukat ganding yang turut merosakkan bubu dan unjang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain