suria

Langkah Rasionalisasi Subsidi Bahan Api Kerajaan Berjaya Tarik Semula Keyakinan Pelabur Asing - Ahmad Maslan

PUTRAJAYA: Langkah rasionalisasi subsidi bahan api yang dilaksanakan kerajaan, berjaya menarik semula keyakinan pelabur asing terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata ringgit mengukuh ke paras yang lebih baik dalam tempoh tiga minggu kepada RM3.259 berbanding dolar Amerika Syarikat (US) susulan pengumuman langkah rasionalisasi subsidi tersebut.

"Ini merupakan mesej yang positif daripada pelabur, yang telah melihat komitmen kerajaan dalam menangani isu defisit fiskal negara," katanya.

Ahmad berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada kakitangan kumpulan sokongan II, orang kelainan upaya, ibu tunggal, anak yatim dan anak kelainan upaya di Kompleks Kewangan, Khamis.

Menurut beliau langkah pengurangan subsidi bahan api ini bukan sahaja untuk memastikan subsidi kerajaan diberikan kepada yang lebih memerlukan, malah turut memberi implikasi positif dalam perkara lain.

Alliance Research dalam satu kenyataan berkata ringgit dijangka meningkat kepada 3.22 berbanding dolar US pada akhir tahun ini berbanding paras semasa pada sekitar 3.30, berikutan asas ekonomi yang bertambah baik walaupun jangkaan kemudahruapan jangka pendek.

Ringgit Malaysia turun mencecah paras terendah dalam tempoh 27 bulan pada RM3.33 bagi satu dolar US pada 27 Ogos sebelum melantun semula untuk ditutup pada 3.2685 berbanding satu dolar US, Rabu.

Mengenai penggunaan RON95, Ahmad berkata berdasarkan jumlah penggunaan isi rumah di Malaysia ke atas RON95, hanya 30 peratus disumbangkan oleh isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, dengan purata perbelanjaan bahan api itu sebanyak RM132 sebulan.

"Mereka yang berpendapatan lebih RM5,000 sebulan pula, purata pembelian bahan api RON95 sebanyak RM375 sebulan, dan ini bermakna golongan ini mendapat lebih banyak subsidi," katanya.

Ahmad berkata pengurangan subsidi bahan api oleh kerajaan dibuat bagi memastikan pembahagian subsidi negara dapat dibahagi secara lebih adil kepada golongan yang berhak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain