suria

Sidang Khas DUN Kelantan Kutuk Pembunuhan Beramai-Ramai Rakyat Mesir

KOTA BAHARU: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu membuat ketetapan mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai orang awam yang berhimpun secara aman di Mesir oleh tentera negara itu.

Persidangan khas DUN itu juga mendesak semua pembunuhan dan tindakan kejam ke atas orang awam dihentikan serta merta dan Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi dibebaskan serta dikembalikan kuasanya dengan serta-merta.

DUN Kelantan turut mendesak semua pihak yang terbabit menerima sistem demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara itu. Ketetapan itu dibuat melalui usul yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada persidangan khas itu yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Selepas usul itu dibahaskan, ia mendapat sokongan dan diluluskan sebulat suara oleh anggota-anggota DUN.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Ahmad berkata kekejaman yang dilakukan oleh pihak tentera Mesir yang menyebabkan ribuan orang awam terbunuh adalah perbuatan hina dan biadab yang perlu dihentikan serta merta. "Mereka yang terbunuh adalah hampir kesemuanya saudara seagama. Kekejaman ini perlu dihentikan serta merta," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri Kelantan dan rakyat melahirkan rasa prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat Mesir dan kesal dengan kekejaman yang dilakukan oleh tentera negara itu.

Ahmad turut mencadangkan kerajaan Malaysia menjadi orang tengah dan mengambil langkah positif bagi menghentikan kekejaman itu serta mengembalikan demokrasi di negara itu.

"Saya ingin menyatakan kerajaan Malaysia perlu mempengaruhi negara-negara Timur Tengah yang menyokong Jeneral Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil El Sisi yang membunuh ribuan rakyat Mesir, agar tidak memberi atau menghentikan dana kepada mereka agar tidak lagi berlaku pertumpahan darah di Mesir," katanya.

Ahmad juga mencadangkan supaya agensi kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama mengumpulkan dana bagi membantu meringankan kesengsaraan rakyat Mesir termasuk dari segi kebajikan dan perubatan.

Sementara itu, beberapa anggota DUN yang mengambil bahagian membahaskan usul itu, menyatakan sokongan terhadap usul berkenaan berikutan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat Mesir tanpa perikemanusiaan.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata meskipun dasar Malaysia tidak campur tangan urusan hal ehwal negara lain namun kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Mesir itu perlu dikecam sekeras-kerasnya dan ia perlu dihentikan serta merta.

Sambil menyatakan simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Mesir, beliau berkata Malaysia mempunyai hubungan yang lama dengan negara Arab itu termasuk dalam bidang pendidikan di mana ramai rakyat negara ini melanjutkan pelajaran di negara berkenaan.

Datuk Husam Musa (PAS-Salor) pula berkata ketetapan DUN Kelantan yang mengutuk kekejaman terhadap rakyat di Mesir perlu juga dibuat ke atas negara lain seperti Syria yang sedang bergolak mengakibatkan ribuan rakyatnya terbunuh.

Beliau berkata demokrasi di negara terbabit perlu dipulihkan dengan segera bagi mewujudkan keamanan dan mengembalikan hak kemanusiaan.

Persidangan DUN itu kemudiannya ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain